utama

Pilunya hati kami...

Oleh Roselan Ab Malek

DUGAAN besar menimpa Mohd Esmadi Ibrahim apabila dua anaknya demam serentak dan lebih menyedihkan, anak bongsunya meninggal dunia, 6 Januari lalu.

Anak bongsunya meninggal dunia akibat demam, manakala anak keduanya pula terpaksa dimasukkan ke wad kerana dijangkiti virus Influenza A.

Mohd Esmadi, 36, berkata, anak bongsunya Muhammad Dayyan Hazim yang berusia setahun lapan bulan meninggal dunia pada 6 Januari lalu selepas hanya sehari mengalami demam.

Lebih menyedihkan semasa kejadian itu bapa kepada tiga anak itu tidak ada bersama mangsa kerana dia berada di sebuah hospital swasta di Kuantan bagi menjaga anak keduanya, Mohamad Danial, 4, yang disahkan dijangkiti Influenza A.

“Bayangkanlah saya tidak dapat memberikan tumpuan pada Hazim dan tidak pernah berjumpa dia sejak 1 Januari kerana memberikan tumpuan kepada Danial memandangkan Danial demam teruk dan terpaksa dimasukkan ke wad.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi saya berharap selepas ini pihak hospital janganlah terlalu mengikut prosedur sehinggakan hendak tunggu lima hari baru melakukan ujian dan sebagainya sedangkan anak sakit teruk,” katanya.

Menurutnya, pada 2 Januari lalu, isterinya, Rossilawati Mohamad, 37, yang menjaga Hazim menelefon memberitahu anak keduanya itu demam dengan panas mendadak dan sakit di dalam perut.

Katanya, dia kemudian meminta isterinya membawa Hazim ke klinik swasta kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini sekiranya baru demam pesakit disuruh balik tanpa melakukan ujian terperinci termasuk ujian darah.

Beliau yang berasal dari Jengka 18, Maran, berkata selepas melakukan ujian influenza di klinik berkenaan anaknya itu didapati negatif influenza.

“Berbekalkan antibiotik dan ubat demam, isteri saya membawa Hazim pulang sebelum demam panas meningkat mendadak sehingga terpaksa diberikan ubat sebelum mengalami sawan dan dihantar ke Hospital Jengka.

“Berita menyedihkan saya terima dalam perjalanan pulang dari Kuantan ialah Hazim semakin kritikal sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

“Saya tidak sangka dengan hanya demam satu hari sahaja, seluruh tubuhnya menjadi lemah.

“Apabila sampai di hospital doktor pakar memaklumkan anak saya amat kritikal sebelum Hazim meninggalkan kami pada 7.11 pagi pada 6 Januari lalu dan dikebumikan di Jengka 18 pada hari sama.

“Walaupun saya dan isteri amat sayangkan Hazim, tetapi kami reda dengan ketentuanNya kerana Allah lebih sayangkannya,” katanya yang bertugas sebagai Pengurus Felda Jengka 1.

Dalam pada itu, menceritakan keadaan anak keduanya yang dijangkiti influenza, Mohd Esmadi berkata, Danial mengalami demam pada 31 Disember 2019 dengan suhu sehingga 39 darjah Selsius.

Katanya, dia pada mulanya membawa Mohamad Danial ke HOSHAS Temerloh sebelum doktor mengesahkan anaknya tidak ada jangkitan kuman dan diminta balik.

“Walaupun saya memberitahu anak sering sakit perut dan demam tidak kebah walaupun makan ubat, doktor mengesahkan tidak dijangkiti kuman.

“Doktor tetap arahkan saya membawa anak balik dengan meminta saya sentiasa membasahkan badan anak.

“Saya kemudian mengambil keputusan membawa Danial ke klinik swasta yang kemudian mengesahkan dia dijangkiti virus Influenza A,” katanya.

Menurutnya, dia begitu sedih dengan fasiliti hospital kerajaan yang tidak mampu mengesahkan anaknya sudah diserang Influenza A.

Katanya, menerusi surat rujukan daripada klinik swasta itu, dia membawa Danial ke hospital swasta di Kuantan untuk rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 12:32pm
d