utama

'Mulianya hatimu' [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

“DUA kali saya menangis, luluh dengan apa yang berlaku depan mata sebab saya ini jenis cepat sensitif dengan budak lebih-lebih lagi anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun sebaya anak saya.

“Dan lebih membuatkan hati saya tersentuh bila tengok ada bayi sedang tidur dalam gendongan ibunya, menguatkan lagi keinginan saya membantu mereka,” kata Zairul Eizam Abdul Rahman,32.

Tindakan Tenaga Pengajar Media Sosial dan Koordinator Program Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu membantu sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran di Lebuhraya Guthrie, kelmarin tular hingga mendapat pujian ramai netizen.

Bagi Zairul, tindakannya membantu Zubair Mohammad, 33, dan isterinya Nur Ain Othman,29, yang ditimpa kesulitan atas dasar tanggungjawab sesama manusia.

“Apa yang membuatkan saya tersentak ujian dilalui pasangan itu cukup hebat.

“Kedua-duanya bukan saja OKU pendengaran, malah bayi mereka berusia enam bulan turut ada masalah sama manakala anak sulung mereka masalah lambat bercakap.

“InsyaAllah, bukan setakat kelmarin, hari ini tetapi saya niat akan cuba sedaya upaya membantu selagi mana mereka memerlukan,” katanya kepada Harian Metro.

Zairul berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari pejabatnya di Lembah Pantai di sini ke rumahnya di Seksyen U10 Shah Alam, Selangor dengan melalui laluan motosikal di lebuh raya terbabit.

“Kejadian berlaku pada waktu Maghrib ketika itu saya ternampak sebuah motosikal tidak stabil macam tayarnya kurang angin ditunggang seorang lelaki yang membonceng isteri dan bayi di belakangnya manakala seorang anaknya berada dalam raga di depan.

“Saya memberhentikan motosikal dan cuba menawarkan bantuan, namun saya dapati kedua-dua pasangan itu tidak boleh membalas setiap pertanyaan saya hanya memberi bahasa isyarat.

“Saya dapat idea lalu mula berkomunikasi dengan mereka melalui telefon bimbit dan mereka membalas sebenarnya mereka dalam perjalanan balik dari Hospital Ampang ke rumah di Bukit Subang,” katanya.

Menurutnya, mereka akhirnya bertukar motosikal selepas kedua-dua pasangan terbabit bersetuju menerima pelawaannya membantu mengisi angin tayar kenderaan itu di stesen petrol di Denai Alam.

“Kebetulan ada seorang pak cik turut sama membantu dan beri cadangan supaya saya bertukar motosikal dengan pasangan itu.

“Selesai mengepam tayar, saya iring keluarga itu sampai ke flat tempat mereka tinggal untuk memastikan mereka semua selamat sebelum saya meneruskan perjalanan balik ke rumah,” katanya.

Katanya, dengan niat sekadar mahu meringankan beban ditanggung keluarga itu dia memuat naik gambar dan video serta catatan kejadian berkenaan di Facebook, semalam.

“Saya tengok satu persatu komen dan ada juga menghantar mesej peribadi memaklumkan menghadapi masalah melakukan pemindahan wang sumbangan ke akaun pasangan itu seperti yang saya tulis.

“Saya yakin pihak bank membuat sekatan kerana mungkin akaun itu menerima jumlah transaksi banyak, jadi saya mengambil cuti hari ini untuk membantu mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Bagi Zubair yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Sungai Buloh pula menganggap, pertemuan tidak sengaja bersama Zairul satu rahmat tidak terhingga walaupun dia bukan jenis menyusahkan orang lain.

“Kami kerap berulang ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan bayi kami dan biasanya kami ke sana menaiki e-hailing tetapi kerana tidak mampu lagi tampung tambang mahal membuatkan kami naik motosikal pada hari kejadian kerana tidak mahu menyusahkan keluarga kami.

“Siapa sangka ada hikmah hari itu. Saya bersyukur Allah pertemukan kami dengan insan semulia Zairul, mungkin kami tidak dapat balas dengan harta di dunia ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 9:00pm
d