utama

Kebocoran subsidi rugikan negara [METROTV]

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) antara kementerian yang menggalas tanggungjawab berat kerana setiap keputusan dibuat secara tidak langsung membabitkan kepentingan rakyat.

Setiap dasar yang digubal adalah untuk melindungi kepentingan dan hak pengguna.

Ikuti wawancara Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail bersama wartawan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin; juruvideo, SAIFUL Iskandar Ismail dan jurugambar, Rosdan Wahid bagi mengetahui fokus terkini kementerian itu.

Fokus Datuk Seri sebaik menerajui KPDNHEP?

Saya fokuskan kepada tiga perkara.

Pertama ialah setiap polisi atau program perlu berdasarkan data bagi memberi kesan lebih tinggi kepada pengguna dan negara.

Ia penting dan saya sudah membentangkannya dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Ahli MTEN, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ada berjumpa dengan saya sebelum ini dan beliau memberi pandangan bahawa kementerian perlu mengelakkan budaya kerja dalam ruang lingkup kementerian sendiri, sebaliknya perlu bekerjasama dengan kementerian lain.

Saya mula memahami perkara ini apabila KPDNHEP diarahkan melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP), tetapi berhadapan kesulitan mendapatkan beberapa maklumat daripada kementerian lain.

Maklumat ini diperlukan untuk membangunkan data penerima subsidi.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PSP bagi menggantikan sistem sedia ada kerana mendapati subsidi pukal tidak memberikan kesan yang baik terhadap fiskal kerajaan dalam jangka panjang.

Tumpuan kedua adalah mengoptimumkan program subsidi.

Ia bertujuan mengawal ketirisan subsidi kerana sebelum ini terlalu banyak kebocoran subsidi.

Pada 2015 hingga 2017, jumlah ketirisan gas merentasi sempadan dan industri yang direkodkan melebihi RM1 bilion.

Dianggarkan kira-kira 15,000 tong gas dari negara ini diseludup ke Pulau Sebatik, Indonesia.

Ketirisan subsidi minyak masak pula ialah RM600 juta dan ini belum termasuk penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Fokus ketiga ialah program bank makanan (food bank).

Inisiatif diperkenalkan KPDNHEP pada 2018 bertujuan membantu meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

Awal tahun lalu, kami melancarkan Food Bank Siswa dan membantu penuntut kurang berkemampuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sehingga kini, hampir 450,000 isi rumah dan 12,000 penuntut IPTA menikmati manfaat program ini.

Subsidi pukal dikatakan tidak memberi kesan yang baik terhadap fiskal kerajaan dalam jangka panjang. Mohon Datuk Seri jelaskan.

Ada dua sebab iaitu golongan kaya menikmati lebih subsidi petrol.

Dianggarkan, sebanyak 1.2 bilion liter petrol sebulan digunakan oleh rakyat Malaysia.

Jabatan Perangkaan turut mendedahkan kadar penggunaan petrol di antara golongan berpendapatan tinggi (T20), golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40).

Golongan T20 menggunakan lebih banyak petrol dan menikmati banyak subsidi petrol.

Ini kerana T20 memandu kenderaan mewah dan kajian mendapati mereka mengisi 70 liter petrol untuk isian penuh.

Setiap satu liter petrol diberikan subsidi 30 sen dan ini bermakna T20 menikmati subsidi petrol RM21 untuk isian 70 liter petrol.

Berbanding M40, mereka yang menggunakan kereta seperti Produa Myvi hanya menikmati subsidi petrol RM12 apabila mengisi penuh tangki berkapasiti 40 liter.

Sebab yang kedua ialah kenderaan asing membeli RON95.

Walaupun kerajaan menetapkan peraturan kenderaan asing tidak dibenarkan membeli petrol RON95, masih ada pengusaha stesen minyak menjualnya kepada warga asing.

Kebocoran subsidi merugikan negara kerana manfaat ini untuk rakyat Malaysia.

Ramai tidak faham kaedah penetapan harga bahan api menggunakan sistem apungan harga minyak.

Penetapan harga minyak menggunakan sistem apungan harga minyak dibuat mengikut Mekanisme Harga Minyak (APM).

Ia boleh dilaksanakan dengan sistem apungan harian, mingguan atau bulanan.

Hari ini, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api ialah RM2.08 seliter bagi RON95.

Menerusi formula ini, ada satu elemen yang hanya syarikat minyak memberikan harga, kos operasi, keuntungan syarikat minyak sendiri dan keuntungan pengusaha. Sebenarnya harga bahan api di stesen minyak ialah RM2.41, tetapi apabila kerajaan memberikan subsidi 33 sen, ia menjadikan harga siling RON95 ialah RM2.08 seliter.

Ini mekanisme kerajaan pada hari ini.

Dengan harga ini (RM2.08), kerajaan memberikan subsidi kepada syer, subsidi kepada pengusaha stesen minyak dan sebagainya.

Kenaikan harga minyak adalah perkara yang sangat sensitif.

Kenaikan harga minyak perlu dilakukan secara berperingkat kerana kenaikan harga yang berterusan boleh menyebabkan berlaku inflasi.

Bagaimana KPDNHEP menyelesaikan isu harga dan penguatkuasaan?

Bidang tugas KPDNHEP sangat luas dan paling utama ialah penguatkuasaan terhadap barangan tiruan, rokok seludup dan kenaikan harga bahan mentah.

Akta paling kukuh dan kerap digunakan untuk penguatkuasaan ialah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Kerajaan hanya mengawal harga barangan selama 105 hari daripada 365 hari setahun yang merangkumi musim perayaan.

Selebihnya, peniaga mengawal harga barangan di pasaran.

Bagaimana kementerian mengatasi masalah kekurangan bawang merah dan memastikan peniaga tidak ambil kesempatan?

Ekoran ketiadaan bekalan bawang merah dari India, kerajaan beralih mengimport bekalan bawang dari Pakistan, China, Belanda dan Mesir.

Ini menyebabkan kenaikan mendadak harga bawang dalam pasaran sehingga RM24 sekilogram. Penguatkuasaan boleh dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Mengikut akta ini, peniaga perlu memberitahu harga sebenar diberikan pemborong dan sumber mendapatkan bekalan berkenaan.

Kegagalan berbuat demikian mendedahkan mereka dengan risiko tindakan penguatkuasaan.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 7:01am
d