utama

Kami sengsara!

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

AFRIN: Menyedihkan. Itu gambaran situasi terkini kebanyakan pelarian Syria yang berada di Damsyik kerana terpaksa mengalas perut mereka yang kelaparan dengan mengutip sisa makanan di dalam tong sampah.

Peperangan di Syria bermula Mac 2011 dan berlanjutan sehingga kini menyebabkan jutaan pelarian hilang tempat tinggal dan ada yang cacat anggota badan akibat terkena bom.

Walaupun sembilan tahun sudah berlalu namun konflik itu masih belum terlerai menyebabkan rakyatnya sengsara sehingga ada yang terpaksa memakan sisa makanan dari tong sampah.

Lebih menyedihkan ketika menghadapi musim sejuk ini mereka terpaksa memanjat tong sampah yang besar tidak kira lelaki mahupun wanita demi mendapatkan sesuap makanan.

Akibat kelaparan mereka langsung tidak mempedulikan kekotoran sebaliknya terus menjamah makanan yang ditemui asalkan perut terisi.

Situasi terkini pelarian di Damsyik yang terpaksa bergerak dari satu tong ke tong sampah lain menyebabkan penulis tidak dapat menahan air mata.

Untuk rekod, Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan seramai 6.5 juta orang gagal memenuhi keperluan makanan di Syria dengan kebanyakannya menjadi pelarian dalam negara akibat perang.

Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care Nazmi Abdul Karim berkata, kehidupan pelarian Syria yang mengutip sisa makanan dari dalam tong sampah di Damsyik itu terpaksa dilakukan mereka untuk mengisi perut yang lapar.

Menurutnya, Inilah realiti yang berlaku sekarang apabila mereka terpaksa melakukannya untuk meneruskan kehidupan.

Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan di akaun Muslim Care di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717).

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 7:30am
d