utama

Semoga Pakcik Ali dimurahkan rezeki

Oleh Rosyahaida Abdullah

“MENGENANGKAN waktu itu sudah terlalu lewat, sekitar jam 11.15 malam, ditambah pula dengan fizikalnya yang nampak jelas sudah berumur, tidak tergamak untuk kami biarkan saja.

“Sebab itu kami berhenti dan tanya arah tujuannya untuk kami hantarkan. Kami langsung tidak sangka dia ketika itu sedang berjalan ke hospital kerana ingin tumpang tidur di kaki lima di sana,” kata Ahmad Fikri Akmal, 29.

Kisah lelaki warga emas berjalan tular di media sosial minggu lalu selepas Ahmad Fikri memuat naik hantaran dan gambar warga emas terbabit yang ditemui seorang diri di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Jelas Ahmad Fikri, ketika itu, dia dan isteri dalam perjalanan ke rumah ibunya sebelum ternampak warga emas terbabit yang dikenali sebagai Mohd Ali Abas, 63, di tepi jalan.

Pemilik syarikat perkhidmatan pembersihan ini memberitahu, dia dan isteri segera memberhentikan kereta dan menawarkan diri untuk menghantar Mohd Ali yang dipanggil sebagai Pakcik Ali ke destinasi dituju.

“Saya sangka dia ingin ke hospital kerana sakit atau melawat sesiapa, rupanya Pakcik Ali cuma ingin tumpang tidur kerana katanya hanya di situ dia tidak akan dihalau pengawal keselamatan.

“Saya memang terkejut kerana untuk berjalan sejauh itu, rasanya sekitar enam atau tujuh kilometer, akan memakan masa tidak kurang sejam untuk sampai.

“Pakcik Ali tidak menolak untuk saya hantar, cuma dia menolak apabila saya mengajaknya makan terlebih dulu memandangkan dia belum menjamah apa-apa pada malam itu.

“Disebabkan itu, saya beli roti dan air untuk dia alas perut. Banyak juga yang kami bualkan dan sedikit pun tiada sebarang tutur katanya yang saya rasakan dia meraih simpati ataupun ambil kesempatan,” katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad Fikri berkata, Pakcik Ali difahamkan sedang mencari kerja di sekitar Kuantan malah berjalan sehingga ke kawasan perindustrian Gebeng demi memperoleh pekerjaan.

Namun kata Ahmad Fikri, disebabkan warga emas itu turut memerlukan pekerjaan yang menyediakan tempat tinggal, kebanyakan majikan tidak menerimanya bekerja apa lagi dengan umurnya yang dianggap tidak sesuai dengan skop kerja mereka.

Ahmad Fikri juga diberitahu Pakcik Ali adalah bapa tunggal yang mana dua anaknya kini belajar di sekolah pondok justeru warga emas itu mahu mencari kerja untuk menampung hidup.

“Kata Pakcik Ali, dia berasal dari Kuantan dan dia memang sengaja berjalan kaki kerana lebih mudah untuk singgah di tempat yang mungkin mempunyai pekerjaan bersesuaian.

“Jujurnya saya cukup terkesan dengan dugaan yang dia hadapi jadi saya putuskan untuk kongsi di media sosial saya, khusus bagi memohon sesiapa yang bertemunya selepas ini untuk bantu apa yang patut.

“Saya juga mengambil nombor telefon Pakcik Ali kerana saya mahu terus berhubung dengannya untuk mengetahui keadaan dia terutamanya jika dia sudah berjaya mendapat pekerjaan.

“Oleh itu, pagi esoknya (Jumaat) saya hubungi Pakcik Ali dan bertemunya semula di Pasar Besar Kuantan. Ketika kami sedang berborak, tiba-tiba Pakcik Ali terima panggilan telefon daripada seorang individu yang menawarkannya pekerjaan di Melaka susulan tular itu.

“Selepas turut sama berbual dengan individu terbabit dan agak yakin dengan pekerjaan itu, saya kemudian menghantar Pakcik Ali ke Terminal Bas Kuantan pada hari sama.

“Pada awalnya Pakcik Ali cuma minta saya hantar di plaza tol kerana ingin menumpang lori namun saya bertegas untuk belikan tiket bas ke Melaka untuknya.

“Alhamdulillah dia hubungi saya pada jam 10 malam hari sama (Jumaat) memberitahu dia sudah selamat sampai di sana,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 9:00pm
d