utama

Episod cinta Elly

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERKAHWINAN adalah impian setiap pasangan bercinta. Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara Elly Mazlein, hubungan cintanya yang menjadi tanda tanya sebelum ini akhirnya bertemu titik manisnya.

Sabtu lalu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga guru, Mohamad Azlan Che Noh.

Mengakui tersentuh dengan sikap Azlan yang sangat menitikberatkan keluarga, Elly yakin lelaki berusia 30 tahun itu mampu menjadi suami dan ayah buat puteri tercintanya, Puteri Sara Sefhia.

“Sebenarnya saya sangat tersentuh dan sebak kerana masih ada insan yang mampu membuatkan saya percaya kepada cinta sekali lagi. Dia juga berjaya membuka hati saya kembali berumah tangga.

“Lebih penting, Azlan adalah orang yang tidak hanya pandai menjaga hati saya, tetapi juga memikat hati Sefhia dan abah,” katanya.

Bercerita mengenai awal perkenalan mereka, Elly mengakui timbul sedikit kegusaran dalam hatinya untuk memulakan semula episod cinta.

“Pada peringkat awal, susah untuk saya terima yang saya akan bercinta semula. Namun, dia tak pernah berputus asa. Dia juga rapat dengan Sefhia dan abah. Itu secara tak langsung menambah keyakinan saya untuk menerimanya,” katanya.

Bagi Azlan pula, dia juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang berkata-kata mengenai status Elly sebagai ibu tunggal.

“Ada juga beberapa rakan rapat mengusik saya dan saya tahu statusnya itu. Namun, itu tak menjadi masalah buat saya untuk menerima. Sebagai manusia, saya pun ada banyak kelemahan.

“Dia terima saya seadanya. Saya pun bukan sesiapa, datang dari kampung dan latar belakang keluarga saya bukan daripada golongan berada. Namun, dia terima semuanya dengan hati terbuka,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupannya sebagai suami kepada selebriti popular, Azlan mengakui sedikit canggung di peringkat awal.

“Pada peringkat awal, saya perlukan sedikit waktu untuk membiasakan diri dengan dunia Elly. Namun, perlahan-lahan saya belajar untuk mengadaptasi diri.

“Itu adalah dunianya dan sebelum berkahwin lagi, namanya sudah cukup dikenali. Jadi, saya sendiri pun perlu bersiap sedia untuk terkena tempias populariti itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan bulan madu, Elly berkata, kedua-dua mereka akan berbulan madu di kota London.

“Insya-Allah, kalau ikutkan perancangan, kami akan berbulan madu pada musim cuti sekolah pada Mac nanti. Kami akan cuba aturkan waktu
sebaik mungkin.

“Tidak hanya berdua, kami akan berbulan madu bertiga bersama Sefhia kerana saya takkan tinggalkan anak saya,” katanya.

Berbicara mengenai kerjaya lakonan Elly, Azlan tidak menghalang atau meletakkan sebarang syarat kepada isterinya.

“Saya tahu, dia sudah mula berlakon sejak sebelum kami kenal. Jadi, saya tak ada letakkan sebarang syarat kepadanya dan saya tahu, dia sendiri juga faham batasan sebagai isteri dalam menjayakan lakonannya,” katanya.

Kedua-dua mereka juga tidak lokek untuk berkongsi mengenai impian memiliki cahaya mata bersama.

“Harapan saya, kalau boleh lebih cepat kami dianugerahkan anak, lebih baik,” kata Azlan.

Bagi Elly, dia sendiri juga sudah bersiap sedia sekiranya bakal bergelar ibu dalam masa terdekat.

“Jadual kerja saya sudah mula padat sehingga Julai depan. Tapi, saya sudah maklumkan kepada pihak produksi, sekiranya saya hamil mereka boleh susunkan skrip supaya watak saya itu adalah sebagai wanita mengandung,” katanya.

Apa yang pasti, kedua-duanya tampak berseri-seri di majlis malam berinai serta akad nikah yang dilangsungkan serentak dengan resepsi.

Majlis malam berinai bertemakan Cik Siti Wan Kembang diadakan pada Jumaat lalu dan dihadiri sanak saudara terdekat kedua-dua mempelai.

Majlis akad nikah dan resepsi pula berlangsung pada Sabtu dan kedua-dua mempelai dinikahkan sendiri oleh bapa Elly, Syed Hanafi Syed Abdullah.

Di majlis resepsi, Elly diiringi rakan-rakan terdekatnya antaranya Jasmine Ashraff sebagai pengapit dan barisan gadis dulang iaitu Fasha Sandha, Rita Rudaini, Farahdhiya, Nad Zainal, Linda Hashim, Azza Elite dan Intan Sarafina.

Majlis itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan hebat penyanyi terkenal tanah air antaranya Intan Sarafina, Ameng Spring, Gmie Screen, Nizam Laksamana dan Aris Ariwatan.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 6:00am
d