utama

Enggan pulang dana 1MDB

Oleh Suraya Roslan

BEKAS Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Kedua-duanya bakal menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan mereka dan semuanya hanya akan diketahui di mahkamah hari ini.

Harian Metro difahamkan mereka berdepan pertuduhan bagi kesalahan enggan memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya menahan kedua-duanya semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan untuk dituduh di mahkamah pada jam 9 pagi ini.

“Shahrir dan Ahmad masing-masing bakal menghadapi satu dan dua pertuduhan mengikut AMLATFPUAA 2001,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam kenyataan itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditahan pada jam 10.10 pagi manakala Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru ditahan pada jam 11.22 pagi.

“Kedua-dua mereka ditahan selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Sumber memberitahu Harian Metro, pendakwaan ke atas Shahrir dan Ahmad mempunyai kaitan dengan notis kompaun daripada suruhanjaya itu, Oktober tahun lalu dipercayai menerima wang dana 1MDB daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada 7 Oktober tahun lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti termasuk Shahrir dan Ahmad berjumlah RM420 juta dipercayai daripada dana 1MDB.

Mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin politik itu menolak tindakan SPRM mengeluarkan notis kompaun itu dengan mencabarnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berdasarkan jejak wang dalam akaun bank Najib, Ahmad menerima RM2 juta dari akaun bank bekas perdana menteri itu yang nombor akaunnya berakhir 906 pada 27 November 2013.

Pada 28 November 2013, Shahrir juga didakwa menerima RM1 juta dari akaun bank yang sama.

Shahrir sebelum ini juga mempertahankan tindakannya mengambil wang daripada Najib apabila jejak wang itu didedahkan kepada awam.

Ahmad Maslan turut mempertahankan sumber dana Najib dengan menegaskan ia tidak disalahgunakan daripada 1MDB.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan Barisan Nasional manakala Shahrir berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna pada 2008.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 8:00am
d