utama

Kantin sekolah ala hotel

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEPERTI menikmati hidangan makanan di hotel, itu suasana yang dapat dirasai di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Wang di Sungai Petani.

Pengusahanya, Mohd Fahmi Ahmad, 36, berkata kantin berkenaan diusahakan bersama isterinya Nadirah Azizan, 36, sejak awal bulan lalu.

Katanya, idea menghiasi kantin sekolah itu dengan konsep ala hotel adalah bagi memberi kelainan sekali gus memberi suasana dan ‘mood’ berbeza kepada guru dan murid.

Beliau berkata, konsep berkenaan pada awalnya dilakukan di sebuah lagi kantin sekolah yang diusahakan mereka iaitu di SK Pauh Jaya, Pulau Pinang.

“Dekorasi kantin sekolah SK Pauh Jaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lalu.

“Jadi, apabila kami diberi tanggungjawab menguruskan kantin sekolah ini, kami cuba bawa konsep sama di kantin sekolah ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, bukan sekadar hiasan yang menarik, kantin itu juga turut menyediakan pelbagai menu makanan istimewa dengan harga berpatutan.

Sementara itu, guru besar sekolah, Mohd Effendi Abdul Rahman memuji usaha dilakukan yang bukan saja cantik dan selesa malah teratur.

Katanya, sejak inisiatif itu dilakukan di kantin sekolah berkenaan, beliau dapat melihat keterujaan guru dan murid untuk ke kantin setiap kali waktu rehat.

“Selain menikmati makanan, murid juga dilihat banyak menghabiskan masa rehat mereka di kantin berbanding bermain di kawasan sekitar sekolah.

“Guru juga dilihat lebih bersemangat dan ceria selepas suasana kantin sekolah berubah,” katanya.

Effendi berkata, pihak sekolah sentiasa memberi sokongan kepada pengusaha kantin untuk melakukan penambahbaikan dalam usaha memastikan kantin sentiasa dalam keadaan teratur, bersih dan cantik.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 8:00pm
d