utama

Cabut tinggal motor

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lelaki warga Indonesia memberi alasan mahu mengambil pasport pada rakan sebelum bertindak meninggalkan motosikal Yamaha FZ150 ditunggangnya semata-mata untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakannya cuba melarikan diri digagalkan pihak berkuasa yang menahannya selepas hampir 100 meter lelaki berusia 40-an itu lari dari lokasi dia memberhentikan motosikal ketika pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini, malam kelmarin.

Menurut lelaki berkenaan, dia bertindak melarikan diri kerana takut ditahan pihak berkuasa memandangkan pasportnya didakwa tertinggal di rumah.

“Saya dalam perjalanan dari Setapak ke Segambut selepas menghadiri kenduri rakan dan mahu pulang ke rumah.

“Saya lari sebab tiada pasport dan takut ditahan kerana baru saja enam bulan datang ke sini (Malaysia) untuk bekerja sebagai pekerja binaan.

“Motosikal itu adalah milik saudara lelaki warga tempatan. Dia pinjamkan motosikal itu supaya saya boleh jemput isteri balik bekerja di kawasan Segambut,” katanya.

Dalam operasi disertai 75 pegawai serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya bermula jam 8 malam, sebanyak 1,144 motosikal diperiksa.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Ismail Mohd Zawawi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak penunggang 87 motosikal didapati mempunyai pelbagai kesalahan termasuk lima motosikal yang disita.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, 261 notis saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran serta ekzos tidak mengikut spesifikasi.

“Malah, seramai tiga lelaki termasuk seorang anggota unit beruniform berusia 26 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja dan methaphetamin.

“Selain itu, seramai 13 warga asing ditahan termasuk seorang wanita warga India dalam operasi berkenaan.

“Pihak JAS juga mengeluarkan empat notis atas kesalahan bunyi ekzos bising manakala polis mengeluarkan tujuh notis dalam operasi sama,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, malam kelmarin.

Ismail berkata, dalam operasi itu, 818 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kami memeriksa 3,564 motosikal sepanjang tempoh operasi dilakukan di seluruh ibu kota ini dengan 292 motosikal didapati terdapat kesalahan yang dikesan termasuk 26 daripadanya disita.

“Jumlah saman dikeluarkan dan motosikal yang diperiksa pada tahun ini lebih rendah berbanding pada tahun lalu iaitu 4,295 motosikal diperiksa serta 1,005 saman dikeluarkan memandangkan operasi diadakan selama empat hari berbanding tiga hari tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 6:30am
d