utama

Sukar panggil kerabat diraja [METROTV]

Oleh BERNAMA

DATUK Seri Najib Tun Razak semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa sukar bagi pihak pembelaan memanggil kerabat diraja Arab Saudi sebagai saksi berhubung derma RM2.6 bilion yang dikatakan diterimanya antara 2011 dan 2014.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram sama ada kerabat diraja berkenaan dipanggil memberi keterangan di mahkamah untuk mengesahkan perkara itu.

Sithambaram: Saya katakan pada anda, dari awal lagi, dari 2011 hingga 2014, anda tahu wang itu bukan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Najib: Saya tidak setuju kerana sebahagian daripada wang itu datang secara terus daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Sithambaram: Tiada anggota kerabat diraja Arab Saudi datang ke mahkamah dan mengesahkannya, betul?

Najib: Sukar untuk mereka datang ke mahkamah.

Mendengar jawapan itu, Sithambaram berkata, ia juga memudahkan Najib mengekalkan ceritanya, tetapi bekas menteri kewangan itu tidak setuju dengan kenyataan itu.

Menjawab soalan lain semasa pemeriksaan balas di peringkat pembelaan, Najib, 67, berkata, beliau tidak tahu siapa pemilik Tanore Finance Corporation, pihak yang dinamakan sebagai penerima dana US$620 juta (RM2.2 bilion) yang dikembalikannya.

Malah, Najib berkata, beliau tidak memeriksa sama ada pemilik syarikat itu anggota kerabat diraja Arab Saudi atau kerana Low Taek Jho atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low adalah saluran kepada kerabat diraja itu.

Sithambaram: Saya katakan, Tanore bukan dimiliki kerabat diraja Arab Saudi.

Najib: Saya tidak dapat mengesahkannya.

Sithambaram: Daripada bertanya Jho Low kepada siapa wang itu dihantar, tidakkah lebih baik memeriksanya dengan penderma?

Najib: Saya tidak periksa kerana Jho Low saluran kepada kerabat diraja itu.

Sithambaram: Ia jumlah wang sangat besar. Tidakkah lebih baik jika memeriksanya dengan individu yang menulis surat kepada anda?

Najib: Tidak, kerana Jho Low dinamakan kerabat diraja kerana dia berurusan dengan Putera Al Turki (Putera Faisal Al Turki) pada masa itu.

Sithambaram: Bagaimanakah anda secara peribadi mengetahuinya? Adakah kerabat diraja itu meletakkan kedua-dua anda di dalam bilik dan memberitahu anda Jho Low penama mereka?

Najib: Tidak, saya tahu.

Sithambaram: Adakah anda setuju Jho Low dikaitkan dengan Tanore?

Najib: Menurut laporan, tetapi saya tidak dapat mengesahkannya.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 6:35am
d