utama

Bina nama di seberang

Oleh Georgie Joseph

AKTOR hebat, Bront Palarae sejak kebelakangan ini lebih banyak menghabiskan masa memenuhi tuntutan kerjaya seni di Indonesia, sekali gus menjadikan namanya semakin dikenali di sana.

Bront, 41, mengakui usaha melebarkan sayap di luar tidak lain untuk mendapat kepuasan sebagai anak seni. Kepuasan itu lahir apabila naskhah dijayakan mendapat penghormatan daripada pencinta karya seni.

Dia juga memegang prinsip di mana setiap apa yang cuba diusahakan kena berakar-umbi daripada keikhlasan. Bagi diri sendiri, dia mahu meninggalkan impak yang besar dalam setiap pembabitan seninya.

“Apabila masuk ke industri negara mana pun, tanggapan pertama itu tidak penting. Sebaliknya orang memandang kita keluar dari sesuatu tempat itu.

“Bagi saya, semuanya berbalik kepada apa kesan positif yang kita tinggalkan di tempat bekerja sama ada Malaysia, Indonesia, Singapura, mahupun Filipina. Kita kena ikhlas membuat jaringan, persahabatan dan mengukuhkan titian muhibah antara setiap negara.

“Perkara sebegitu kalau berjalan dengan baik, insya-Allah, mampu membuka peluang kepada pelakon tempatan yang lain. Kita pun nak juga tengok persembahan hebat anak seni di luar negara bukan?” katanya.

Pelakon filem Gundala itu menyifatkan perjuangannya yang lebih banyak tertumpu di luar negara kini adalah antara inisiatif mendekatkan jurang dengan rakan pelakon di sana.

Bront berpendapat, kesatuan sebegitu sebenarnya memberi kelebihan kepada industri tempatan bahkan buat pelakon dari luar juga.

Dengan ikatan yang dibina, dia yakin dengan perkembangan hebat dalam arena lakon layar seantero Asia Tenggara atau seluruh dunia.

“Inisiatif untuk bekerja atau menjemput pelakon dari luar adalah sesuatu yang bagus. Kita boleh ambil inspirasi daripada corak lakonan mereka selain mendalami sendiri nilai seni mereka sebagai artis.

“Saya pun tidak pernah meletakkan sasaran terperinci dalam karier sana seperti hendak ke Hollywood atau mana-mana. Fokus saya cuma terus memberi persembahan yang cemerlang dalam setiap penggambaran dijayakan,” katanya.

Kurang menjayakan filem tempatan sejak beberapa tahun ini, Bront menafikan dia cuba menyisihkan industri tempatan. Sebaliknya, dia mengakui dirinya sangat teruja dengan penerimaan peminat di luar.

“Apa saya perasan, di Indonesia misalnya, wujud perbezaan besar antara peminat dan penonton. Kalau di Malaysia, mungkin dua perkara itu dianggap sama dan tidak dibezakan, tapi hakikatnya besar maknanya.

“Saya sangat terharu apabila ada peminat di seberang bersungguh-sungguh mengikuti karier saya. Mereka melihat senarai filem lakonan saya di Internet dan memangkah naskhah yang sudah mereka tonton.

“Sampai begitu sekali usaha mereka untuk menghargai perjalanan saya sebagai anak seni. Mereka seboleh-bolehnya tidak mahu melihat saya membintangi filem yang tidak bagus,” katanya.

Berkongsi mengenai kelangsungan kariernya di Indonesia yang semakin rancak, Bront mengakui pernah menyimpan hasrat untuk berhijrah ke sana.

Bagaimanapun, dia masih cintakan industri seni tempatan dan berharap dapat menyaksikan perkembangan luar biasa dalam industri perfileman Malaysia.

“Pelik apabila filem saya di Malaysia tidak mencatat kejayaan yang bagus, tapi sebaliknya di Indonesia. Jadi saya terfikir, perlukah saya tinggalkan orang yang tidak sayang saya kepada orang lebih menyayangi.

“Tak berhajat pun nak berbuat demikian, namun apabila banyak kali diingatkan, tiba-tiba saya berfikir mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Bront kini sibuk dalam rangka mempromosikan filem terbaru berjudul Zombitopia arahan MJ Woo. Menurutnya, dia sangat teruja melihat hasil filem itu apatah lagi turut dibintangi pelakon hebat termasuk Shaheizy Sam dan Sharifah Amani.

“Saya bersetuju untuk menerima tawaran filam ini disebabkan adanya Sam dan Amani. Meskipun mereka rakan akrab saya, saya tahu bekerja dengan mereka akan jadi lebih menarik di set.

“Tidak ketinggalan, MJ Woo juga adalah pengarah yang sangat berkaliber. Saya langsung tiada kesangsian terhadap hasil kerjanya dalam cerita berkisar zombie yang mungkin sedikit kurang masuk akal kepada orang lain,” katanya.

Zombitopia turut membariskan pelakon Datin Elvina Mohamad, Azman Hassan, Jay Iswazir, Ken Abdullah dan Ruzana Ibrahim. Filem terbabit bakal ditayangkan pada 13 Februari depan.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 6:00am
d