utama

'Ini percutian terbaik kami sekeluarga'

Oleh Redzuan Muharam

KETIKA ibu bapa lain menghabiskan masa membawa anak mereka pulang ke kampung atau destinasi percutian, Mohd Fairuz Abu, 35, dan isterinya, Nur Asyikin Ilias, 29, berganding bahu melakukan kerja keceriaan di bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Alor Setar, Kedah.

Suami isteri berkenaan sanggup ‘berkampung’ di bilik darjah itu hampir seminggu demi memastikan kerja keceriaan siap sebelum sesi persekolahan bermula hari ini.

Mohd Fairuz berkata, idea melakukan kerja keceriaan tercetus selepas melihat keadaan bilik darjah anak sulungnya, Muhammad Al-Fatih,7, yang kelihatan uzur.

Demi menghidupkan kembali suasana, Mohd Fairuz dan isterinya memohon kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah untuk menjalankan misi mereka.

“Mengikut perancangan awal, saya mahu membawa isteri dan anak bercuti di Pulau Langkawi, sempena cuti sekolah ini.

“Bagaimanapun, saya dan isteri mengubah fikiran selepas melihat keadaan bilik darjah anak yang jelas sekali memerlukan pembaharuan.

“Selepas berbincang, kami sepakat melakukan kerja keceriaan bersama seperti membersih, mengecat, memasang langsir dan alas meja dengan niat mencantikkan serta meringankan beban guru,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kerja keceriaan itu bermula 21 Januari lalu yang mana dia dan isterinya menghabiskan masa lima hingga enam jam bermula 10 pagi setiap hari.

Katanya, pada hari kedua, mereka mendapat bantuan ibu bapa lain dan selebihnya dengan pertolongan seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak sehingga kerja keceriaan itu selesai, semalam.

“Kami tak sangka dapat melakukannya tetapi puas selepas melihat hasilnya pada hari ini.

“Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat melakukan kerja sebegini tetapi baru kini berpeluang dan diharap, ada lagi kesempatan menyumbang keringat untuk sekolah selepas ini.

“Inilah percutian terbaik saya dan isteri serta berharap wajah baru bilik darjah akan menaikkan lagi semangat guru dan anak murid untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 8:30pm
d