utama

NACSA tangani serangan siber

Oleh BERNAMA

AGENSI Keselamatan Siber Negara (NACSA) membangunkan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber (PIKKS) sebagai langkah menghadapi serangan siber.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelan itu bertujuan menyelaras pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber di peringkat nasional dalam memastikan lebih ramai orang awam mendapat manfaat daripada penganjuran program kesedaran itu.

“Ia juga akan dilengkapi dengan perancangan dalam mempromosikan kesedaran dan keselamatan siber, memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet dan media sosial khususnya golongan kanak-kanak, remaja serta ibu bapa,” katanya semalam.

Beliau menambah selain orang awam, PIKKS juga akan memfokuskan kepada penerapan amalan kebersihan siber kepada organisasi awam dan swasta termasuk Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII).

Katanya dokumen PIKKS itu dijangka dikeluarkan pada Oktober tahun ini selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, latih amal krisis siber negara yang dikenali sebagai X-Maya dijangka diadakan November tahun ini membabitkan sekurang-kurangnya 100 agensi CNII bagi menguji kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman serangan siber.

“Tahun lalu kita terbabit di peringkat Asia Pasifik, kita pernah buat di Malaysia dan tahun ini sekali lagi kita akan buat dalam negara. Inisiatif ini akan membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan dan jurang daripada aspek prosedur dan kepakaran teknikal agensi kritikal negara seterusnya melaksanakan penambahbaikan dalam meningkatkan tahap keselamatan siber secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan seramai 100 wanita akan dipilih pada tahun ini bagi menyertai program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber (EWCRM).

Program itu menyasarkan golongan wanita profesional yang sudah berhenti kerja melebihi tempoh enam bulan atas sebab peribadi dan keluarga untuk diberikan latihan dan kemahiran dalam bidang keselamatan siber.

“Program ini adalah sambungan program yang sudah dilaksanakan pada tahun lalu di mana 30 wanita menyertai program yang antaranya memfokuskan latihan dan kemahiran pengurusan keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pengurusan risiko dan insiden keselamatan siber,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 6:01am
d