utama

'Saya nak cuti lama...'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA nak cuti lama, nak rehat.” Itu ungkapan terakhir Mohd Azrul Kasim, 35, kepada ibunya, Norhayati Abd Wahab, 58, melalui panggilan telefon dua hari lalu sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 457.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, di Sungai Buloh, hari ini.

Kemalangan jam 2 petang itu mengorbankan Mohd Azrul, isteri, Noor Hafisah Sharibun, 35, dan anaknya, Muhammad Haiqal, 2, manakala bayi, Aishah Umairah berusia dua bulan, serta anak angkatnya Muhammad Shahril Aiman Abdul Rahman, 7, parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Norhayati berkata, Mohd Azrul pernah terbabit kemalangan pada 17 Disember lalu dan masih bercuti sakit sehingga Februari ini.

“Mereka sekeluarga dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Trolak, Perak. Saya tidak dimaklumkan mengenai kepulangan mereka,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HSB, di Sungai Buloh.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga yang memberitahu anak ketiga daripada empat beradik itu terbabit kemalangan.

“Mak cik tidak tahu arwah sekeluarga nak ke mana tapi mak cik yakin mereka nak balik rumah mak cik. Mungkin arwah nak beri kejutan kepada mak cik kerana dia tak balik semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Mak cik tidak menyangka perbualan telefon dengan arwah dua hari lepas menjadi kenangan terakhir buat mak cik,” katanya.

Sementara itu, sepupu Mohd Azrul yang juga rakan sekerja, Amin Arshad, 43, berkata, kali terakhir dia bertemu ketika arwah datang ke pejabat di Klang, kelmarin, untuk menghantar surat cuti dan beberapa dokumen lain.

Katanya, arwah sepatutnya mula bekerja semalam tetapi diberi tambahan cuti sakit oleh doktor kerana belum pulih sepenuhnya akibat kemalangan bulan lalu.

“Arwah kelihatan lemah dan ada mengadu sakit dada. Arwah beritahu saya dia akan cuti lama,” katanya yang menyifatkan kehilangan arwah amat dirasai kerana mereka sangat rapat dan berkongsi minat memancing yang sama.

Katanya, jenazah ketiga-tiga beranak itu akan dibawa pulang ke kampung halaman di Trolak untuk dikebumikan sebaik selesai proses bedah siasat.

Berita berkaitan

Gagal potong treler

Bayi antara tiga sekeluarga maut kemalangan

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 8:35pm
d