utama

'Saya tidak akan maafkan' [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

"BAYANGKAN dikepung lebih 200 individu lagak seperti gangster," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa dikerumuni sekumpulan individu ketika makan malam bersama ahli keluarga dan rakannya di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar dalam kenyataan di Instagram memaklumkan, pertemuannya bersama ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor dicemari dengan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesaknya keluar dari Johor.

"Malam ini diganggu sekumpulan individu (sekitar 200 orang) yang datang tidak dijemput. Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gangster dan tidak hormat orang.

“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat, ibu bapa saya juga jadi saksi malam tadi.

“Ini apa? ada anak-anak kecil, wanita dalam majlis. Paling teruk mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku saya pun tidak tahu. Yang saya tahu ini biadab dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Turut bersama Syed Saddiq ketika kejadian ialah ibu bapanya, Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, Adun Puteri Wangsa di Johor, Mazlan Bujang, dan beberapa ahli Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta keluarga mereka.

“Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 individu lagak seperti gangster. Saya sendiri YB Rafiq, YB Mazlan dan lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah.

“Terima kasih ARMADA Johor, terima kasih BERSATU Johor. Malam ini adalah malam keluarga ARMADA dan BERSATU. Saya tidak akan maafkan kumpulan yang biadab ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 12:08pm
d