utama

'Lahir ramai anak bangsa berjaya' [METROTV]

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

YAYASAN Anda Akademik (YAA) pernah mencapai kegemilangan pada 1970-an sebagai institusi pendidikan terkenal.

Sumbangannya cukup besar dalam membantu pembangunan agenda pendidikan negara ketika itu.

Yayasan ini melahirkan ramai anak bangsa yang berjaya dalam pelbagai bidang, malah ada dalam kalangan alumni penuntutnya menjadi tokoh terkenal negara.

Ikuti wawancara Pengerusi Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) Datuk Dr Suhaimi Ibrahim bersama wartawan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, juruvideo, Saiful Iskandar Ismail dan jurugambar, Amirudin Sahib bagi berkongsi mengenai YAA secara lebih menyeluruh.

Perjelas sejarah penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA) dan kejayaannya.

YAA ditubuhkan pada 1971 di Jalan Hamzah dan Jalan Stony, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Penubuhan YAA digerakkan oleh pemimpin belia dan mahasiswa pada ketika itu yang diketuai Anwar Ibrahim serta dibantu ahli perniagaan, Daud Seman.

Nama Yayasan Anda ini hasil gabungan Anwar dan Daud. Dalam erti kata lain, Anda ini juga bermaksud pendidikan untuk semua.

Ia diwujudkan atas kesedaran pemimpin belia dan mahasiswa dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Kebangsaan yang kini dikenali sebagai UTM, Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai serta Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai.

Tujuan penubuhan YAA ialah untuk membantu memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran mendapatkan pendidikan secara menyeluruh sebelum meneruskan pengajian ke universiti dan berjaya dalam kerjaya.

YAA mempunyai tiga sesi pembelajaran iaitu pagi, petang dan malam bagi kelas pelajar tingkatan empat, lima serta enam.

Guru di YAA terdiri daripada sukarelawan dalam kalangan penuntut universiti, pegawai kerajaan dan pensyarah.

Pada waktu malam, mereka menjadi tenaga pengajar di YAA secara sukarela untuk membantu mendidik anak bangsa mendapat peluang pendidikan yang lebih terjamin dan mudah tanpa membebankan ibu bapa.

Penubuhan YAA ketika itu tidak berorientasikan keuntungan.

Rentetan sambutan luar biasa daripada mereka yang ingin mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (HSC) dan Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) secara persendirian mendorong YAA memperkenalkan program YAA Gaya Pos serta menerbitkan beberapa majalah popular iaitu Diskusi, Panji Masyarakat, Potensi selain buku rujukan pelajar.

Antara kejayaan program YAA Gaya Pos ialah membantu ratusan ribu pelajar di seluruh negara mendapat peluang belajar yang lebih baik dan menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan serta swasta.

Apa yang membezakan YAA dengan pusat pengajian lain?

Ada empat perbezaan. Pertama, YAA bukan berorientasikan keuntungan.

YAA tidak mengutamakan akademik semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada sifat kepemimpinan, idealisme perjuangan dan cita-cita untuk membina masyarakat yang menyumbang kepada agama, bangsa serta negara.

Kedua, YAA tidak hanya berorientasikan peperiksaan sebaliknya menjurus kepada pembinaan sahsiah dan kerohanian.

Silibus mata pelajaran di YAA juga berbeza dengan sekolah lain yang penekanannya kepada prinsip Islam.

YAA mendapatkan khidmat tenaga pengajar dalam kalangan guru, guru agama dan pensyarah untuk mengajar prinsip Islam yang dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi.

Ketiga, penekanan kepada keperluan bahasa Inggeris.

Pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran English Usage sebagai pendedahan awal kepada mereka sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Keempat, pelajar diwajibkan mengulang kaji buku penulisan sarjana Islam dan Barat.

Selepas membaca, mereka perlu mengupas dan membahaskan isi kandungan buku berkenaan.

Bagi YAA, setiap pelajar perlu didedahkan dengan pemikiran kritis dan kritikal terhadap isu serta persoalan yang berlaku dalam Islam, negara juga dunia amnya.

Anwar selaku Pengarah YAA dan dibantu Timbalan Pengarah YAA iaitu Kamaruddin Mat Noor turut membawa tokoh luar negara serta tempatan untuk menyampaikan syarahan kepada guru dan pelajar seperti Prof Dr Ismail Al Faruqi (Amerika Syarikat), Prof Dr Yusof Al-Qardawi (Arab), Prof Dr Ahmad Totonji (WAMY), Prof Dr Khurshid Ahmad (Pakistan), Prof Dr Nasir Masud (Indonesia), Sasterawan Negara Prof Dr Shahnon Ahmad, Ibu Zain selain tokoh ternama lain tempatan serta luar.

Tujuannya supaya guru dan pelajar YAA mendapat kefahaman mengenai pemikiran Islam keseluruhannya.

Perkembangan YAA melalui tiga fasa dan kemuncaknya ialah ramai pelajar yayasan ini berjaya dengan cemerlang serta dapat melanjutkan pengajian ke IPT.

Walaupun bergelar mahasiswa, mereka turut datang ke YAA untuk membantu mengajar pelajar di yayasan ini selain menyuburkan idealisme dan semangat perjuangan serta pengorbanan.

Ramai pelajar berlumba-lumba untuk merebut peluang belajar di YAA, tetapi tempat terhad dan kekurangan asrama menyebabkan ada yang tidak mendapat peluang itu.

Pada 1978, YAA terpaksa berpindah ke kawasan baharu dengan menyewa Bangunan UDA di Jalan Pantai Baru dan Flat Kampung Kerinchi Kuala Lumpur sebagai Asrama YAA untuk pelajar dari luar bandar.

Bagaimana Datuk melihat kepentingan YAA pada hari ini?

Sejak YAA tidak lagi beroperasi pada 2000, alumni YAA melihat seperti ada kekosongan dan kami berpendapat yayasan ini perlu dihidupkan semula seperti dahulu.
Ini kerana alumni berasakan idealisme, cita-cita dan matlamat YAA sebenarnya masih relevan untuk membentuk pembinaan sahsiah, kepemimpinan serta budaya ilmu dalam kalangan generasi muda hari ini.

Bagaimana YAA boleh membantu pembangunan negara?

Lebih 100,000 pelajar termasuk yang mengikuti program Gaya Pos menuntut ilmu di YAA sejak penubuhannya.

Kini, ramai alumni YAA sudah berusia lebih 50-an, tetapi mereka masih ‘segar’ dengan ilmu dan disiplin yang diterapkan dalam yayasan itu.

Kami mengharapkan segala ilmu itu dapat dimanfaatkan untuk disebar luaskan kepada anak-anak, pelajar sekolah dan penuntut IPT.

Secara tidak langsung kami bekerjasama dengan kerajaan dan Kementerian Pendidikan bagi melahirkan insan akademis bertakwa.

Ramai alumni YAA di luar sana. Harapan Datuk buat mereka dalam membantu pembangunan ilmuan, akademik serta negara?

Ramai kalangan alumni YAA berjaya dengan kerjaya masing-masing dan menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Kami berharap dengan kehadiran Anwar dapat mencetuskan gelombang kedua kepada alumni untuk menggerakkan cita-cita dan harapan YAA sebelum ini iaitu membentuk sahsiah, idealisme, kepemimpinan, perjuangan serta penekanan semangat kesukarelawanan dalam kalangan alumni.

Mampukah YAA sekali lagi menjadi satu daripada gedung ilmu tersohor di Malaysia?

Jika mengikut asas penubuhan YAA, ia mampu menjadi gedung ilmu terkemuka dengan mendapat sokongan alumni yang mempunyai semangat kesukarelawanan dan pengorbanan untuk kembali ke yayasan ini.

Kita mampu membangunkan semula nama YAA sebagai institusi pengajian tinggi dengan menyediakan bimbingan dan latihan kepada pelajar.

Namun, kemungkinan modul YAA terpaksa diubah suai mengikut keperluan semasa bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan perindustrian 4.0.

Sokongan kewangan juga boleh membantu usaha kita membuka semula yayasan ini yang ditutup operasinya hampir 20 tahun lalu.

Insya-Allah, dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang ada dalam kalangan alumni, ia akan berjaya meneruskan usaha serta cita-cita untuk bergerak semula membantu pelajar di semua peringkat.

Setahun sebelum penutupan YAA iaitu pada 1999, yayasan ini bergerak atas semangat kepemimpinan daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi meneruskan program pendidikan dan kepemimpinan.

YAA semakin ‘lemah’ apabila pengasasnya dipenjarakan dan akhirnya yayasan ini terpaksa menghentikan operasinya.

Selepas itu, guru di YAA yang masih tinggi semangat mendidik, mewujudkan sekolah tahfiz persendirian, pusat tuisyen dan sebagainya.

Alhamdulillah, kami bersyukur kerana Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan pendaftaran Persatuan Alumni YAA (Payaam).

Payaam dalam bahasa Urdu dan Hindi bermaksud mesej atau khabar dan kami mengharapkan mesej ini akan dapat disampaikan kepada generasi muda.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 7:30am
d