utama

Tiga maut, tiga parah

Oleh Juwan Riduan

TIGA maut, tiga parah dan seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Tuntul, Jalan Pan Borneo, dekat Papar, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero Sport.

Tiga lelaki yang maut daripada kenderaan Ford Ranger, manakala dua lagi lelaki di kenderaan berkenaan masing-masing parah dan cedera ringan.

Dua lagi mangsa parah pasangan suami isteri daripada kenderaan Mitsubishi Pajero.

Identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti.

Difahamkan, semua mangsa di kenderaan Ford Ranger baru pulang dari majlis kahwin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.40 malam.

Menurutnya, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sulaiman Menin bersama sembilan anggota menggunakan sebuah jentera dan sebuah EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

“Menurut komander operasi, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dan Ford Ranger yang dipercayai bertembung.

“Terdapat tujuh mangsa terbabit dan berjaya dikeluarkan dan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, mangsa parah dan cedera ringan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan susulan.

“Tiga mangsa parah dan seorang cedera ringan dihantar ke Hospital Papar menggunakan Kenderaan EMRS dan ambulans.

“Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain,” katanya.

Tambahnya, operasi menyelamat tamat jam 10.24 malam tadi.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 8:34am
d