utama

Ibu, anak 3 tahun tawan puncak Kinabalu

Oleh Redzuan Muharam

“ALHAMDULILLAH, kami berjaya sampai. Bukan senang tetapi perjalanan menaiki dan turun dari puncak adalah kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” kata jurulatih kecergasan dan penyampai radio, Siti Aminah Borhan.

Siti Aminah, 29, atau mesra dipanggil Amie berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama anak tunggalnya, Nurr Yuna Sofia Mohd Rizal yang berumur tiga tahun pada 29 Januari lalu.

Dua beranak itu memulakan pendakian pada 10 pagi, 28 Januari lalu dan mengambil masa hampir 19 jam untuk menamatkan misi sulung mereka itu.

Kisah itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya kagum dengan kesungguhan wanita berkenaan melakukan aktiviti pendakian walaupun perlu mendukung anaknya sehingga sampai ke puncak.

Berkongsi pengalamannya, Amie berkata, dia tidak dapat melakukan persediaan rapi bagi mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara berikutan jadual tugasannya yang padat.

Sebaliknya, Amie hanya sempat melakukan latihan di Bukit Maragang, dua hari sebelum misi pendakiannya bermula.

“Sebenarnya, saya tiada perancangan serius untuk melakukan misi berkenaan kerana setiap pendaki perlu membuat tempahan beberapa bulan lebih awal tetapi bergantung kepada kekosongan.

“Rezeki saya apabila tarikh diberi tidak bercanggah dengan jadual kerja dan sejak awal lagi, saya bercadang membawa Sofia bersama.

“Syukurlah, perancangan itu dipermudahkan dan sepanjang perjalanan, Sofia tidak meragam malah ada ketikanya, dia (Sofia) berjalan sendiri tanpa perlu didukung sepanjang masa,” katanya.

Menurut Amie, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu seorang doktor dan malim gunung sepanjang misi pendakian.

Katanya, antara cabaran dilaluinya adalah melalui jalan licin ketika hampir sampai ke puncak dan mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada di aras tinggi.

“Malam sebelum misi bermula pula, Sofia muntah-muntah dan saya hampir membatalkan pendakian sekiranya keadaannya lebih teruk.

“Namun, dia kembali sihat pada keesokan harinya dan ia memberi semangat untuk saya meneruskan pendakian,” katanya.

Amie berkata, sepanjang pendakian, dia dan Sofia menerima sokongan daripada pendaki lain.

“Mereka (pendaki) sangat positif hingga ada yang bertepuk tangan sebagai tanda sokongan dan mengajak Sofia bergambar.

“Saya turut terharu dengan sokongan warganet yang memberi kata positif selepas kisah kami tular di laman sosial

“Ada juga yang mengecam saya kerana membawa Sofia bersama tetapi ramai tidak tahu Sofia sebenarnya sudah didedahkan dengan aktiviti riadah sejak kecil lagi dan tiada masalah berlaku sepanjang perjalanan,” katanya yang menetap di Cyberjaya.

Menurut Amie, jika diberi kesempatan, dia mahu meneruskan misi pendakian di lokasi yang lain.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 8:00pm
d