utama

Tony lepas jawatan CEO AirAsia

Oleh Bisnes HM

PENGERUSI AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamaruddin Meranun dan Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia , Tan Sri Tony Fernandes, melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dalam syarikat untuk tempoh dua bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia semalam, AirAsia berkata, langkah itu adalah bagi tempoh dua bulan atau jangka masa yang difikirkan sesuai oleh syarikat.

Namun, berikutan perkembangan ekonomi semasa yang mencabar dihadapi industri penerbangan, Jawatankuasa Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang dibentuk oleh Lembaga Pengarah AirAsia, memutuskan untuk mengekalkan mereka sebagai penasihat syarikat sepanjang tempoh dua bulan itu.

Jawatankuasa itu merangkumi ahli lembaga pengarah bukan eksekutif.

“Tharumalingam Kanagalingam dilantik sebagai Pemangku CEO Air Asia atas cadangan jawatankuasa itu,” katanya.

Jawatan Kamarudin dan Fernandes akan ditukar sebagai ahli lembaga pengarah bukan eksekutif Air Asia.

Sementara itu, Kamarudin dan Fernandes dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan melepaskan jawatan mereka bertujuan memberi peluang untuk siasatan penuh dan bebas dilakukan oleh AirAsia.

“Kami akan terus membantu AirAsia dalam kapasiti sebagai penasihat dan apabila diperlukan.

“Kami mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama penuh,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam satu kenyataan berkata, ia akan membuat penilaian sama ada terdapat pelanggaran Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 dan garis panduan dikenali “Guidelines on Fit and Proper Person” berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus SE, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 8:30am
d