utama

Tak peduli gosip

Oleh Norhayati Nordin

SEBUT saja nama Nazeera Sardi, ada yang tahu dan mungkin juga sebaliknya mengenai pelakon wanita yang banyak membintangi drama ini.

Bukan sekadar melakonkan watak baik, Nazeera juga tidak gentar menjadi antagonis yang dibenci.

Mengulas mengenainya, pemilik nama sebenar Siti Nazirah Sardi ini berkata, sebagai pelakon dia lebih suka mencuba.

Katanya, sampai bila dia nak berlakon watak baik saja dan ada kalanya menjadi jahat juga perlu.

“Sejak aktif menceburi lakonan pada 2011, saya tidak gemar cepat berasa selesa. Bagi saya, dalam setiap watak dilakonkan itu pasti dapat mempelajari sesuatu yang baharu.

“Apapun, bagi memudahkan pembawakan watak itu saya akan pastikan memahami kehendak skrip,” katanya.

Nazeera, 33, berkata, dia juga kebiasaannya akan merujuk pengarah untuk berbincang apa yang perlu.

Berbicara mengenai dirinya yang sangat kurang gosip, Nazeera berkata, dia selesa menjaga pergaulan.

“Bukan tidak pernah langsung terpalit dengan gosip, tetapi saya lebih suka tidak ambil tahu. Untuk saya, biarkan saja. Sampai masa, gosip itu akan berlalu. Lagi pun, kalau tak betul tak payah gelabah.

“Namun, setakat ini saya bersyukur perjalanan kerjaya lakonan lancar dan tawaran pun masih diterima,” katanya.

Nazeera yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Cinta Kalut untuk RTM berkata, dia juga tidak memilih, tetapi terima tawaran sesuai.

“Saya suka berlakon. Jadi, sudah pasti peluang yang diperoleh itu sangat dihargai dan wajar membuat terbaik.

“Tiada istilah ambil mudah dalam urusan kerja saya. Ini kerana, saya perlu hormati komitmen pelakon lain.

“Kalau mereka sudah memberi yang terbaik, saya kena bersedia. Berlakon adalah kerja berpasukan,” katanya.

Nazeera yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, pada masa sama, sikap hormat-menghormati perlu ada.

Katanya, setakat ini dia memastikan dia berada di lokasi dalam keadaan selesa dan fokus pada kerja.

Nyanyian sekadar mencuba

Walaupun pernah menghasilkan lagu solo berjudul Tetap Ada Cinta pada 2018, ia seakan terpinggir.

Lagu berkisar percintaan hasil ciptaan ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna itu terlihat sepi.

Mengulasnya, Nazeera berkata, ketika lagu Tetap Ada Cinta itu dilancarkan dia terlalu sibuk dengan aktiviti.

“Selain menyanyi, semestinya saya sibuk dengan lakonan. Ketika itu juga, saya menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Tidak hanya aktiviti itu, saya juga mempunyai perniagaan pakaian sendiri termasuk mengeluarkan produk penjagaan kulit di bawah jenama Zeyra.

“Jadi, saya sibuk dan atas sebab itu aktiviti promosi dan publisiti lagu dilakukan terbatas,” katanya.

Nazeera berkata, dia tidak kecewa apabila lagu Tetap Ada Cinta tidak mesra radio dan pendengar.

Katanya, pembabitan dalam nyanyian sekadar mencuba dan tidak serius. Namun, dia seronok dapat pengalaman merakam lagu.

Sehubungan itu, untuk lakonan nama Nazeera pernah melonjak ketika dia membintangi drama Pembancuh Kopi Mr Vampire bersama pelakon Ungku Ismail Aziz.

Lakonan Nazeera juga jadi perhatian dalam drama Cinta Fatamorgana yang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 6:01am
d