utama

Kembali menyerlah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PEMBABITANNYA dalam seni sebelum ini seakan tidak serius apabila sering keluar masuk dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun memasuki 2020, pelakon cantik Tania Hudson bertekad untuk kembali aktif meraih peluang dalam lakonan.

Agak lama berehat selepas membintangi filem Abang Long Fadil 2, Tania kini kembali mengorak langkah pertama apabila membintangi drama bersiri Bila Hati Berbisik arahan Wan Cromok yang sedang rancak menjalani penggambaran.

Tania berkata, masanya sudah tiba untuk dia kembali fokus pada lakonan dan menyerlah dalam industri hiburan tempatan.

“Saya sudah lama berlakon, tapi tak konsisten. Boleh dikatakan sekejap aktif kemudian diam semula. Mungkin ini buat produksi anggap saya tak aktif. Sebenarnya saya okay saja dengan cara ini.

“Sekarang kita ada media sosial. Kalau nak, mereka boleh cari saya di situ sahaja. Apapun, semuanya berbalik pada rezeki,” katanya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kelibat Tania hanya boleh disaksikan menerusi filem terbitan Skop Productions.

Dia pernah membintangi filem KL Special Force, Abang Long Fadil 2 dan terbaru bakal tampil dengan filem Abang Long Fadil 3 yang dijangka menemui peminat pertengahan tahun ini.

“Saya pernah berlakon beberapa filem lain, tapi dengan Skop Productions saya diberi kesempatan melakonkan watak utama. Ini rezeki saya apabila sentiasa jadi pilihan Syafiq Yusof yang juga pengarah untuk ketiga-tiga filem terbabit. Mungkin dah selesa bekerja bersama. Saya pun okay dan gembira dapat berlakon dengan produksi ini,” katanya.

Menurut Tania, dia tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan Skop Productions dan bebas menerima tawaran dengan mana-mana produksi.

“Saya bebas berlakon dengan mana-mana produksi. Cuma, kebetulan saya banyak berlakon bersama Skop Productions. Saya bersedia terima tawaran daripada mana-mana pihak asalkan kena dengan citarasa saya.

“Saya pernah berlakon genre komedi, drama cinta dan bawa watak antagonis. Kalau boleh saya nak berlakon filem seram pula. Saya seorang yang kuat juga. Kalau ada peluang begini, kiranya ia benda baru bagi saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Tania mengakui sudah banyak berlakon drama. Bagaimanapun, dia kemudian menyepikan diri dan hanya aktif semula sebaik menerima tawatan membintangi filem Abang Long Fadil.

“Dua tahun lalu pun saya berlakon drama arahan Rahila Ali terbitan Skop Productions yang sudah menemui penonton di kaca TV. Tahun lalu pun saya berlakon dengan dia, tapi dramanya belum ditayangkan lagi. Tahun ini, saya terima tawaran berlakon drama Bila Hati Berbisik kerana suka jalan ceritanya yang ditulis Nana Khalil,” katanya.

Tania berkata, selain ceritanya bagus, wataknya mudah difahami serta mempunyai mesej tersendiri.

“Saya melakonkan watak Laila, seorang model yang kurang nilai agama, namun akhirnya berubah jadi baik. Dia hidup cara moden dan liar, lupa agama serta lupa diri apabila tinggal di bandar.

“Kemudian corak hidupnya berubah 360 darjah. Saya bentukkan watak ini ikut pemahaman sendiri tanpa merujuk mana-mana individu,” katanya.

Sebagai pelakon, Tania lebih selesa bergerak sendiri. Katanya, dia tiada masalah untuk mendapatkan tawaran berlakon.

“Saya pernah cuba berada di bawah beberapa syarikat pengurusan artis, tapi jujurnya saya lebih suka diuruskan ibu sendiri. Rasanya lebih selesa begitu. Saya belum pernah menolak tawaran disebabkan bertembung jadual. Kalau dulu berlaku kerana jadual yang padat. Sekarang saya akan fokus pada sesuatu tawaran yang datang,” katanya.

Ditanya sejauh mana dia dikenali peminat, Tania mengakui pendekatan generasi sekarang sangat berbeza.

“Mereka memang lain berbanding dulu. Ada yang kenal saya, tapi apabila saya tak aktif sangat berlakon, pasti ada yang tak kenal sangat. Apapun saya okay sahaja. Ada artis yang suka cipta kontroversi di media sosial untuk cari publisiti. Saya tak buat dan tiada pengalaman lagi dalam perkara ini. Saya tak gila glamor, tak gila nak popular. Pada saya kita kena buat benda yang kita suka. Kalau kita sukses, populariti itu akan datang sendiri nanti,” katanya.

Menurutnya, dia sudah lama memulakan langkah dalam lakonan dan tahu bukan mudah untuk naik.

“Sekarang pengikut ramai saja terus dapat berlakon. Ini kenyataannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 6:00am
d