utama

'Kak Long' tumpas [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DIJANJIKAN kerja sebagai pekerja butik bergaji lumayan namun sebaik tiba di ibu kota, dikurung dan dipaksa melacur oleh sindiket pelacuran tempatan didalangi seorang wanita.

Malah, wanita berusia 39 tahun itu juga dianggap kak long bagi sindiket pelacuran di ibu kota kerana kebanyakan pelacur yang dilanggan adalah ‘anak buah.’

Modus operandi wanita tu ialah mencari warga asing dengan mengiklankan pekerjaan sebagai pekerja butik di negara ini dengan gaji lumayan di Internet selain kemudahan tempat tinggal dan tiket kapal terbang disediakan.

Bagaimanapun sebaik tiba, wanita terbabit akan dibawa ejen sindiket pelacuran terbabit ke rumah yang disediakan dan di situ, wanita itu akan dikurung bersama wanita senasib dan tidak dibenarkan keluar.

Semua wanita itu juga perlu membayar ikatan hutang atau debt bondage yang tidak diketahui jumlahnya.

Difahamkan, kadar perkhidmatan dikenakan adalah RM300 sekali langganan.

Penderitaan semua mangsa yang diperdagangkan ejen terbesar sindiket pelacuran di ibu kota itu sejak lebih setahun lalu berakhir kelmarin dalam operasi khas dilakukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman yang berkolaborasi bersama Harian Metro.

Operasi khas selepas risikan selama tiga minggu bermula jam 5.30 petang kelmarin dan berakhir 2 pagi semalam itu berjaya menahan ejen berusia 39 tahun dan tiga lagi ahlinya yang berperanan sebagai pembantu (ejen), penjaga dan transporter.

Turut diselamatkan dalam operasi khas ini adalah seorang gadis Vietnam berusia 17 tahun selain enam wanita rakan senegaranya, Kazakhstan (dua) dan masing-masing seorang dari Russia dan Indonesia.

Selain itu, tujuh individu termasuk seorang warga Bangladesh dipercayai pekerja sebuah spa yang diserbu turut ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pasukannya yang berjaya mengumpul maklumat mengenai kegiatan dan mengenal pasti lokasi serta pergerakan suspek melakukan serbuan serentak di lima premis sekitar ibu kota.

“Dalang utama iaitu seorang wanita ditahan ketika berada di rumahnya di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan kira-kira jam 12 tengah malam.

“Pembantu wanita itu pula ditahan dalam tempoh sama di sebuah pusat snuker di Jalan Kuchai Lama.

“Seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai transporter ditahan di sebuah kondominium di Kuchai Lama dipercayai ditugaskan menghantar mangsa kepada pelanggan selepas mendapat tempatan.

“Dalam unit kondominium itu pula terdapat tiga wanita warga Vietnam manakala yang lain sudah keluar dipercayai sudah ditempah pelanggan,” katanya.

Fadil berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah spa di Jalan Sungai Besi dan berjaya menyelamatkan lapan wanita dari Vietnam (lima), Kazakhstan (dua) dan masing-masing seorang dari Russia dan Indonesia.

“Kita juga merampas tiga kereta, wang tunai RM7,581, 19 telefon bimbit, buku catatan, kondom dan peti besi,” katanya.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44 akta sama,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan memburu mereka yang memperdagangkan wanita.

“D3 Bukit Aman tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara. Orang ramai dinasihatkan untuk terus salurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 9:05am
d