utama

'Doakan yang terbaik'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

LAGU Sumpah ternyata memberi tuah buat penyanyi, Naim Daniel yang juga komposer lagu itu.

Ketika dilancarkan, lagu itu sudah berjaya menambat hati peminat sekali gus menjadikan video muziknya trending di YouTube.

Kejayaan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya Sumpah turut mara ke pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang bakal berlangsung Ahad ini.

Lebih manis apabila itu adalah kemunculan pertama Naim di pentas AJL yang sebelumnya pernah mengangkat nama penyanyi hebat tanah air lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Misha Omar dan ramai lagi.

Melihatkan perjalanan lagu itu yang meraih perhatian dan mencipta fenomena tersendiri, ramai meramalkan jika Sumpah bakal bergelar Juara Lagu.

Naim, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah SWT.

“Saya pilih untuk tidak menipu diri sendiri dalam soal ini. Setiap orang yang memasuki pertandingan semestinya menyimpan hasrat untuk menang.

“Apabila orang mendoakan yang terbaik buat kita, apa salahnya saya menyambut baik dan aminkan. Kata-kata itu satu doa yang melantun. Jika ada rezeki, saya terima dengan penuh kesyukuran.

“Insya-Allah, saya cuba memberikan persembahan terbaik. Saya akan menjadikan ini sebagai saat terbaik dalam kerjaya selain pembakar semangat untuk terus berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Berbaki dua hari lagi menuju ke pentas akhir, Naim yang juga pelakon drama Pia mengakui berdebar.

“Selepas diumumkan layak ke AJL34, saya dan pasukan kerja World Peace Entertainment mula memikirkan soal konsep persembahan. Pasti ada penggunaan ‘prop’ dan sebagainya.

“Saya juga pastinya mahu bermain dengan jiwa penonton menerusi persembahan bakal diadakan nanti. Selebihnya, kita sama-sama tunggu. Sebagai manusia biasa, ini adalah perkara biasa. Apatah lagi membabitkan sesuatu yang besar. Selagi belum habis persembahan, perasaan gementar pasti ada.

“Tekanan juga dirasai menjelang hari pertandingan nanti. Cuma, apa saya mahukan adalah penonton merasai jalan cerita lagu ini pada malam akhir nanti,” katanya.

Naim mengakui, Sumpah yang juga ciptaan bersama Omar K berkata, lagu itu cukup bermakna dalam diri dan kerjaya seninya.

“Sepanjang kerjaya nyanyian saya, lagu ini memberikan impak tersendiri. Sumpah memang naskhah yang sangat bersifat peribadi. Ia seperti cinta pertama saya. Ia juga tidak ubah seperti simbolik transisi saya daripada lakonan ke dunia nyanyian.

“Melayakkan diri untuk sama-sama bersaing di pentas AJL34 pula menjadi penghormatan besar buat saya yang masih ‘kerdil’ di dunia muzik. Semuanya bagai disusun cantik dan saya amat bersyukur,” katanya.

Dalam kesibukan membuat persiapan untuk AJL34, finalis sempat meluangkan masa untuk bermain 'game' dengan krew Senang Terhibur

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:00am
d