utama

'Belum ada keputusan'

Oleh Amir Abd Hamid

TIDAK perlu gusar berikutan kerajaan belum memuktamadkan keputusan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga memangku Menteri Pendidikan, berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dan diputuskan.

Malah, beliau berkata kerajaan turut bersedia mendengar pandangan rakyat berhubung perkara itu sebelum diputuskan secara majoriti.

“Saya dapati ada disiar bahawa kerajaan tentukan Sains (dan) Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya kami belum buat keputusan. Saya hanya beri penerangan sahaja dalam kementerian, entah macam mana terbocor dan seolah-olah kerajaan putuskan ini.

“Kerajaan masih menimbang. Kita buat keputusan mengikut majoriti anggota Kabinet, sekiranya ada tentangan kita akan tangguhkan. Kalau setuju, pelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris,” katanya selepas ucapan Majlis Amanat dan Aspirasi Perdana Menteri Merangkap Pemangku Menteri Pendidikan Bersama Warga Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Dr Mahathir, berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai sama ada ia program yang diadakan semula atau dengan penambahbaikan.

Dr Mahathir turut ditanya bagaimana meyakinkan masyarakat Melayu dan persatuan Cina seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengenai kepentingan PPSMI.

Katanya, walaupun boleh menggunakan bahasa sendiri namun ilmu sains tidak dapat dikuasai sepenuhnya kerana ia bukan sesuatu yang statik seperti mata pelajaran Sejarah dan Geografi.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 7:10am
d