utama

Ambil serius khidmat pengiring haram

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

BUKIT Aman memandang serius kegiatan penawaran khidmat pengiring haram dan menasihati orang awam supaya menghindarkan dari melakukan tugas mengiring.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap bukan sahaja pihak yang menawarkan khidmat itu tetapi kepada pelanggan.

Menurutnya, kedua-dua pihak boleh didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebih lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000.

“Tindakan mereka memaksa pengguna jalan raya yang lain memberi laluan juga satu kesalahan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam (polis) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun serta denda,” katanya.

Azisman berkata, JSPT pernah menahan satu kumpulan pengiring haram tahun lalu di mana motosikal berkuasa besar itu sengaja dicat warna putih bertujuan memperdaya pengguna jalan raya yang lain bahawa ia motosikal polis trafik.

“Penunggangnya pula memakai baju mirip uniform polis trafik sebelum mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk menyamar sebagai penjawat awam...motosikal itu dirampas.

“Tugas pengiring hanya boleh dilakukan anggota JSPT namun ada juga beberapa agensi lain boleh menjalankan tugas itu,” katanya.

Beliau berkata, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bomba, pihak kastam, imigresen dan warden pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja yang dibenarkan menjalankan tugas mengiring.

“PBT pun tertakluk pada kawasan mereka sahaja seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) warden mereka hanya boleh melakukan tugas itu dalam kawasan DBKL.

Tidak dibenarkan (mengiring) luar dari kawasan,” katanya.

Berita berkaitan

  • Kuda putih untuk ‘disewa’
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 10:10am
    d