utama

Ini berita baik ... petrol turun harga

Oleh Amir Abd Hamid

HARGA runcit petrol RON95 turun sebanyak empat sen seliter kepada RM2.04 manakala RON97 turun tujuh sen seliter kepada RM2.34.

Penurunan sama turut dialami harga runcit diesel yang turun 10 sen kepada RM2.08 seliter.

Harga runcit produk petroleum itu adalah bagi tempoh 8 Februari hingga 14 Februari.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penurunan harga runcit itu disebabkan penurunan harga minyak global.

"Harga RON95 sebanyak RM2.04 seliter dan diesel sebanyak RM2.08 seliter ini menunjukkan penurunan yang besar berbanding minggu lalu (1 Februari hingga 7 Februari ) bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada RM2.11 seliter (tetapi disekat pada had runcit RM2.08 seliter) dan diesel yang berada pada paras RM2.18 seliter," katanya tadi.

Lim berkata kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit secara mingguan dengan had harga tidak melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

"Ini akan membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga runcit produk petroleum di pasaran dunia dan sebaliknya dilindungi daripada sebarang kenaikan harga melebihi RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel," katanya.

Lim berkata subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) yang dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM6 bilion pada tahun lalu.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:08pm
d