utama

Saingan sengit

Georgie Joseph

SEJAK 12 finalis Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) diumumkan, ramai terus berteka-teki lagu mana yang layak menjadi juara.

Boleh dikatakan setiap lagu yang bertanding memiliki kelebihan masing-masing dan berpeluang cerah untuk menang.

Esok menjadi penentunya di mana satu lagi lagu bakal melakar sejarah dalam acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, jam 9 malam.

Sukar sebenarnya untuk meramal lagu mana paling kuat berbanding edisi AJL terdahulu. Ini disebabkan banyak faktor yang boleh mempengaruhi penjurian sekali gus menyukarkan pemilihan lagu mana terbaik.

Faktor terbabit termasuklah populariti, aspek teknikal, fenomena dan kekuatan lirik serta melodi lagu itu sendiri. Jika diikutkan, rata-rata lagu yang bertanding memiliki kelebihan dalam mana-mana aspek berkenaan.

Bagaimanapun, tiga lagu yang mungkin mampu membawa pulang trofi itu adalah Rampas ciptaan Hang Nadim, Laq, Bunga Cantik dan Akim & The Majistret, Anta Permana - Hael Husaini, Ezra Kong (Bob Yusof), dan Ragaman - Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan, Romeo (Fairuz Misran).

Mengambil kira komposer dan penulis lirik tiga lagu itu, harapan untuk menang cerah. Ia berdasarkan profil kuat pencipta lagu berkenaan sendiri dalam sejarah penganjuran pertandingan itu.

Begitu juga daripada aspek populariti, fenomena tiga lagu itu boleh dikatakan agak luar biasa terutama Ragaman dan Anta Permana.

Walaupun penyanyi asal iaitu Faizal Tahir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyanyikannya sendiri, ia bukan penghalang untuk menang.

Ia bukan perkara baharu pun kerana sebelum ini pun biasa berlaku apabila penyanyi asal meletakkan penyanyi berlainan jantina untuk menyanyikan lagunya. Contohnya Yuna memilih Aizat Amdan menyanyikan Terukir Di Bintang beberapa tahun lalu.

Apapun, persaingan vokal juga nampaknya tidak kurang sengit. Tahun ini menyaksikan bekas penyandang vokal terbaik iaitu Hafiz Suip dan Ernie Zakri turut memberikan saingan.

Hafiz yang mempertaruhkan Kisah Cinta Kita ciptaan Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan lirik oleh Datuk A Aida tidak menafikan mengidam kemenangan kategori itu.

Menurutnya, dia akan sedaya-upaya memberikan lontaran vokal yang kemas nanti.

“Bohonglah kalau saya tidak idamkan untuk menang kategori itu lagi. Sekarang saya risau sekiranya ada masalah kesihatan saja yang boleh mengganggu nyanyian saya kelak. Bagaimanapun, saya harus akui saingan untuk menang kategori itu sangat sengit. Penyanyi seperti Aina Abdul antara yang cukup mantap vokalnya,” katanya.

Hafiz pernah meraih trofi vokal terbaik dalam pertandingan itu selama tiga kali berturut-turut iaitu AJL25, AJL26 dan AJL27.

Untuk kategori persembahan, penyanyi rap Aman RA yang mempertaruhkan lagu Bangun ciptaannya bersama Navigator turut berpeluang besar untuk menang. Sekiranya tampil dengan kejutan tersendiri, dia mampu mengulangi kejayaan Altimet sebelum ini.

Demikian juga kumpulan Kugiran Masdo yang kali pertama bertanding dalam AJL. Mereka berazam untuk mempamerkan persembahan tersendiri supaya mampu diingati semua.

Mereka turut mengambil banyak inisiatif sebagai persediaan menjelang kemuncak acara berkenaan. Tidak terkecuali, mereka mendapatkan nasihat daripada rakan band yang sudah pernah bertanding di AJL.

“Semestinya itu adalah antara usaha wajib dengan mendapatkan tip daripada band berpengalaman lain. Namun, anggota kami iaitu Azham pun sebenarnya sudah dua kali beraksi di AJL sebelum ini,” kata penyanyinya Ali.

Dalam pada itu, Naim Daniel yang juga bertanding buat kali pertama dengan mempertaruhkan lagu Sumpah mengakui rasa teruja lebih mengatasi perasaan gementar.

“Saya kini memang sibukkan diri dengan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental. Saya pun kurangkan mengambil tawaran persembahan untuk memberi fokus kepada minda, badan dan jiwa.

“Walaupun kali pertama bertanding dan berkongsi pentas dengan nama besar lain, saya tidak mahu diri dikuasai rasa gementar. Rasa itu memang ada namun saya kawal agar berpada-pada dan seimbangkan dengan persiapan yang terbaik,” katanya.

Bertemakan ‘Warna-Warna Suara’, AJL34 bakal dihoskan Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan Haziq.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 6:00am
d