utama

Gelung rezeki

Oleh Syaherah Mustafa

TIGA tahun lalu, bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini diuji apabila disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah akibat demam berpanjangan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangat Nik Abdul Muiz Nik Man, 30, untuk berusaha mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sebaliknya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina ini menceburkan diri dalam perniagaan ikan hiasan.

Bermula dengan satu gelung konkrit, kini Nik Abdul Muiz ada 25 gelung yang dijadikan tempat pembiakan ikan.

“Saya memiliki lebih 2,000 ikan hiasan yang dibiak di sekitar rumah seperti koi platinum, koi albino, big ear red tail, santa clouse, japan blue tail dan yellow tuxedo.

“Hasil jualan ikan hiasan ini saya dapat RM2,000 sebulan yang menjadi punca utama pendapatan,” katanya di rumahnya di Kampung Kubang Badak, Kota Jembal, di sini.

Katanya, dia menggunakan kelebihan media sosial bagi mempromosikan ikan hiasan termasuk menyertai kumpulan jualan dalam talian untuk mendapatkan pelanggan.

Nik Abdul Muiz berkata, walaupun tidak sempat mencapai cita-cita sebagai arkitek namun dia bersyukur diberi rezeki menjadi pengusaha ikan hiasan sejak lebih setahun lalu.

“Saya tidak sangka usaha membiak serta menjual ikan hiasan ini mendapat permintaan tinggi dan berharap ia terus berkembang.

“Biasanya pelanggan dari dalam dan luar Kelantan berkunjung ke rumah untuk melihat ikan memandangkan saya tidak mampu menghantar atau berurusan di pejabat pos,” katanya yang kini berkerusi roda.

Menurutnya, ibu, Hasnah Abd Rahman, 61, dan bapanya, Nik Man Nik Ahmad, 58, serta keluarga banyak membantu dia bangkit melawan dugaan ini.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 7:10am
d