utama

Terus berlari selagi ada kudrat

Oleh Redzuan Muharam

USIANYA sudah 77 tahun namun semangat Abd Wahid Kassim menyertai kejohanan larian tidak pernah luntur walaupun perlu bersaing dengan peserta jauh lebih muda.

Terbaru, datuk kepada 12 cucu itu mendapat perhatian selepas kisahnya menyertai kejohanan Ultron-UiTM Ultra 2020 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor tular di laman sosial.

Walaupun hanya dapat menamatkan 13 pusingan dengan jarak 65 kilometer (km), kesungguhan Abd Wahid menyertai larian sejauh 104km itu mendapat pujian warganet.

Menceritakan latar belakangnya, Abd Wahid berkata, dia gemar menyertai sukan olahraga sejak di bangku sekolah.

“Minat berlari sejak di sekolah lagi dan saya pernah mewakili Victoria Institution (VI) dalam acara pecut sekitar 1960-an.

“Pertandingan paling jauh pernah saya sertai adalah kejohanan jalan kaki pada 1988 yang bermula dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Maran, Pahang selain larian mengelilingi Pulau Pinang pada 1990.

“Dulu tiada Facebook dan aplikasi WhatsApp, saya dapat tahu mengenai kejohanan selepas terbaca iklan di surat khabar ataupun dipelawa rakan yang turut serta,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Selangor Dredging, Dengkil.

Berkongsi rahsia kecergasan, Abd Wahid berkata, tiada sebarang petua diamalkan malah dia tidak mengehadkan pengambilan makanan tertentu.

Sebaliknya, bekas guru dan jurutera itu berusaha mengekalkan stamina dengan menjalani latihan setiap hari di sekitar kawasan perumahannya.

“Saya berlatih setiap hari bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi dan menyambungnya semula pada jam 5 petang.

“Latihan di sekitar rumah saja. Pada masa sama, saya pasti berlatih setiap hari kerana badan rasa hendak demam selain tidak lalu makan jika tidak melakukannya.

“Paling lama saya tidak berlari adalah ketika berada di Tanah Suci Makkah pada 2002, ketika itu, badan rasa kurang bertenaga,” katanya yang pernah dinobatkan tempat kedua untuk larian Menara Kuala Lumpur.

Menurut Abd Wahid, misinya kini bukanlah untuk meraih pingat atau memburu kemenangan sebaliknya hanya untuk kepuasan peribadi.

Disebabkan itu, dia enggan terlalu memaksa diri dan memilih menamatkan larian apabila terlalu letih bagi mengelak kecederaan yang boleh menghalangnya daripada aktif berlari.

“Saya akan berhenti sebelum cedera kerana saya percaya pasti ada peluang lain.

“Sebelum ini, saya pergi ke kejohanan sendiri namun kini, saya ditemani anak, cucu dan menantu.
“Anak sulung, Muhamad Haiman yang berusia 46 tahun juga aktif berlari dan kini terbabit alam acara larian denai. Saya akan terus berlari selagi kudrat masih ada,” katanya yang mahu memperbanyakkan latihan untuk meningkatkan stamina ketika berlari di kawasan berbukit.

Berhubung gambar yang tular di laman sosial, Abd Wahid mengakui terkejut kerana baginya, ramai pelari veteran lain yang lebih hebat namun berharap perkongsian itu dapat memberi inspirasi kepada semua.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 9:00pm
d