utama

Paduan rockers legenda

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SEBUT saja gelaran Papa Rock dan Ratu Rock, tentunya wajah Datuk Ramli Sarip dan Ella akan mula mengisi ruang fikiran.

Walaupun berdekad beraksi dalam industri muzik tempatan, nama kedua-dua figura yang cukup dikenali peminat muzik rock tanah air ini masih kukuh dan kekal relevan sehingga hari ini.

Buat kali pertama, kedua-dua mereka bakal bergabung di atas satu pentas dan beraksi untuk mengisi malam peminat mereka di acara Konsert Kembara Kita 2020 selama dua hari berturut-turut.

Ramli ketika ditemui di sesi fotografi promosi konsert itu baru-baru ini berkata, pentas Istana Budaya di Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu persembahan yang mungkin tidak pernah disaksikan penonton.

“Kalau bercakap mengenai kejutan, mungkin tak banyak kejutan, tapi apa yang boleh dijanjikan adalah satu persembahan yang mungkin orang tak pernah terfikir akan berlaku.

“Saya sendiri pun tak pernah terfikir mengenai konsert ini dan penonton perlu saksikannya kerana ia umpama satu sejarah dalam perjalanan muzik tanah air,” katanya.

Ditanya mengenai corak persembahan pada malam konsert yang berlangsung pada 14 dan 15 Februari ini, Ramli berkata, akan ada susunan muzik baharu untuk lagu yang bakal dipersembahkan.

“Secara keseluruhan, kami mungkin akan menyanyikan hampir 30 lagu sepanjang durasi dua jam setengah konsert berlangsung. Akan ada segmen istimewa untuk saya dan Ella berduet juga. Kebetulan, lagu duet kami, Kembara Kita diambil daripada lagu yang saya pernah rakamkan dengan Ella satu ketika dahulu.

“Dari segi kejutan, mungkin ia lebih kepada benda yang sesuai dengan kehendak pemuzik yang seangkatan zaman kami. Kalau peminat tak jangkakan pun kejutan itu, ia mungkin adalah perkara yang mereka harapkan,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai konsert itu, Ramli berkata, idea asal untuk mengadakan konsert itu dicetuskan pemain gitar, Allahyarham Aji Samin yang meninggal dunia pada September tahun lalu.

“Ilham untuk mengadakan konsert ini muncul daripada buah fikiran arwah Aji yang sudah bersama saya lebih 20 tahun. Kebetulan Ella pun ada pengalaman bekerja dengan dia termasuk untuk beberapa acara persembahan dan rakaman.

“Jadi, kami akan wujudkan ingatan dalam satu segmen untuk memperingati jasa Aji dan cuba terjemahkan dalam konsert ini. Apa pun, saya sangat terkesan dengan pemergian Aji,” katanya.

Sementara itu, Ella mengakui gementar dan pada masa sama teruja kerana berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan Ramli.

“Pada awalnya, saya sendiri ragu-ragu sama ada saya dapat melakukan konsert ini atau tidak dan memang sangat gementar. Namun, bila difikirkan semula, banyak juga lagu hit saya adalah hasil kerjasama dengan Ramli.

“Idea ini adalah satu idea yang bagus dan jarang sekali peluang seperti ini datang. Jadi, saya ambil keputusan untuk terima dan bersama dengannya di pentas konsert,” katanya.

Ketika ditemui, Ella juga berkongsi pengalamannya sepanjang bekerjasama dengan Ramli.

“Dalam tempoh 30 tahun saya mengenali Ramli, dia pernah menerbitkan tiga album saya iaitu Pengemis Cinta, Puteri Kota dan Identiti. Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan kerana Ramli adalah satu nama besar dan siapa saya pada ketika itu.

“Setiap album yang kami pernah bekerjasama ada perubahan dan perjalanannya yang tersendiri. Saya bertuah kerana mendapat bimbingan daripadanya yang cukup dikenali sebagai pemuzik yang berilmu dan dia tahu apa yang dia mahukan,” katanya.

Ditanya sama ada susunan muzik untuk lagu yang bakal dipersembahkan diberi nafas baharu atau tidak, Ella berkata, akan ada beberapa lagu yang kekal dengan susunan muzik asal.

“Seperti konsert lain, susunan muzik baharu tentunya akan ada untuk memastikan setiap persembahan itu tampil berbeza. Namun, akan ada juga lagu yang tidak disusun semula.

“Rata-rata, ada peminat yang datang untuk menonton persembahan saya nak mendengar lagu seperti versi asal yang mereka pernah dengar kerana mereka nak nyanyikan bersama. Jadi, saya hormat juga permintaan itu,” katanya.

Walaupun sudah cukup berpengalaman, dua bintang ini memulakan sesi latihan sejak beberapa minggu lagu bagi memastikan kelancaran konsert yang akan mengambil tempat di Istana Budaya itu.

Selain itu, Ella dan Ramli juga masih aktif dengan kerjaya seni masing-masing.

“Insya-Allah, menjelang 7 Mac depan, saya akan membuat persembahan di Singapura bersama Lefthanded di Capitol Theatre. Menariknya, itu adalah persembahan pertama untuk band rock dan Lefthanded diberi peluang untuk membuat persembahan di situ bersempena ulang tahun ke-40 mereka.

“Selain itu, saya juga menyiapkan lagu baharu untuk acara Kota Buku KL dan kini bekerjasama dengan TV Al-Hijrah untuk menjayakan program Kembara Asnaf,” katanya.

Ella yang juga kini bergelar usahawan cili juga bakal bertemu peminatnya di Singapura dalam satu acara konsert.

“Alhamdulillah, ladang cili saya pun kini mula membuahkan hasil dan sekarang dalam proses menuai. Selepas ini, akan ada satu lagi konsert di Singapura yang menjadi kesinambungan daripada konsert Ella Unplugged di Kuala Lumpur tak lama dulu.

“Selain itu, saya dan pengurusan juga dalam proses untuk mempromosikan single ketiga daripada album Peace Love Rindu iaitu Sujud,” katanya.

Tiket untuk acara konsert itu mula dijual sejak beberapa minggu lagi dan peminat boleh mendapatkannya menerusi laman web www.ilassotickets.com dengan harga tiket bermula daripada RM110 hingga RM510.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 6:01am
d