utama

'Saya hanya mahu ingat kematian'

Oleh Adnan Ibrahim

"HAKIKATNYA tiada apa-apa yang pelik dan replika (kubur) itu sekadar peringatan kepada saya, isteri serta dua anak kami.

“Mereka (orang ramai) tidak memahami setiap landskap yang saya bina dari hadapan hingga ke belakang rumah. Ia sebenarnya berkaitan dengan aliran kehidupan sebagai seorang hamba Allah hingga ke alam kubur," katanya pemilik rumah, mahu dikenali sebagai Zul, 36.

Replika kubur dibina Zul di laman rumahnya di Taman Sri Impian, Kluang tular di media sosial sebelum polis menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka replika kubur yang dibinanya itu menimbulkan pandangan negatif orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati penghuni rumah berkenaan bersama keluarganya membina kubur itu sekadar sebagai peringatan kepada diri mereka soal kematian.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada apa-apa yang ditanam di dalam dua kubur itu. Ia hanya dibentuk dengan membina batas sebelum memasang (batu) nisan diperbuat daripada kayu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada penduduk taman berkenaan yang mengesyaki dua kubur di belakang rumah keluarga itu sebelum ia tular di media sosial, tengah hari semalam.

"Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi bagi membuat pemeriksaan dan mendapati tiada apa-apa yang berlaku," katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, selepas berpuas hati dengan kenyataan penghuni selain siasatan mendapati tiada sebarang objek yang ditanam, dua replika kubur itu diarahkan dibuang dan tanahnya diratakan semula.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 8:00pm
d