utama

Persembahan Aina Abdul keterlaluan

Oleh Georgie Joseph

MESKIPUN dilihat menarik dari segi kreativiti, persembahan penyanyi, Aina Abdul menerusi lagu Sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) mengundang kritikan dan pertikaian Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA).

Menurut kenyataan persatuan itu, persembahan konsep bunuh diri berkenaan keterlaluan dan melanggar peraturan.

“Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan bunuh diri di pentas AJL tahun ini? Stesen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adengan sedemikian di media.

“Dalam persembahan terbabit, penyanyi itu yang berpakaian serba putih menikam dadanya sehingga darah membuak-buak keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan darah pekat yang mengalir,” demikian kenyataan itu.

MIASA menyelar keras persembahan itu yang seakan mendorong penonton untuk mencederakan diri sekali gus melanggar garis panduan di media.

“Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang SALAH kepada penonton mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada.

“Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adengan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah untuk menamatkan riwayat.

“Bagi individu yang memiliki masalah mental, adengan seperti ini boleh menyebabkan cetusan yang boleh mengganggu pemikiran dan mungkin mendorong mereka untuk menamatkan riwayat,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, MIASA akan mengambil tindakan demi memastikan persembahan sebegitu tidak berulang.

“Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang kami ingin memohon masyarakat untuk membantu untuk membuat laporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF).

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 11:38pm
d