utama

Bimbang jangkaan penonton

Oleh Najiy Jefri

KALI pertama berlakon di bawah arahan pengarah prolifik, Mamat Khalid menerusi filem Rock 4: Rockers Never Dai, kedua-dua bintang utama filem ini mengakui tidak berdepan kesukaran untuk mencipta keserasian sepanjang penggambaran filem terbabit yang dilakukan sekitar November 2018.

Hazama dan Bulan Terry nyata teruja dan berbangga apabila diberi peluang untuk menyambung trilogi filem Rock yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri meski mereka berdua julung kali terbabit dalam filem yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 20 Februari ini.

Hazama yang memegang watak sebagai Omar berkata, Mamat adalah pengarah yang genius apabila dia memberi kebebasan kepada setiap pelakon untuk mencorakkan karakter masing-masing supaya watak yang dibawakan berbekas di hati penonton.

“Menerusi filem ini saya memegang watak pemain dram bernama Omar. Banyak konflik tercetus bermula daripada saya yang bercinta dengan Seri (lakonan Bulan Terry). Saya juga antara pemain yang kerap mengundang masalah hingga berlaku masalah.

“Sepanjang terbabit dalam filem ini, saya akui teruja dan seronok kerana dapat input baharu dalam dunia lakonan. Cara pengarahan Mamat sangat berbeza dengan pengarah lain. Dia memberikan kebebasan kepada pelakon untuk mewarnai karakter masing-masing.

“Dia juga percaya dengan magis yang bakal diberikan setiap pelakon. Biarpun pada mulanya saya terkejut dengan cara dia bekerja tapi lama-kelamaan saya faham apa yang diinginkan.

“Dia juga tidak suka memberikan tekanan kepada pelakon membawakan sesuatu karakter itu kerana dia handal dalam bahagian suntingan. Dia sudah tahu apa yang ingin dihasilkan dan terbaik untuk jalan cerita filem itu,” katanya.

Menurut Hazama, meskipun cara pengarahan Mamat disifatkan berbeza dengan pengarah lain, namun dia menyukai cara kerja Mamat yang sangat mempercayai setiap pelakon.

“Pada mulanya saya rasa macam tak mampu lakukannya kerana merasa cara sedemikian hanya mampu dibuat oleh pelakon handal. Saya ini bukanlah hebat sangat dalam dunia lakonan tapi dia sedaya upaya memberikan tunjuk ajar.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan saya timba banyak ilmu daripadanya. Apa yang ada dalam fikirannya itu sangat luar biasa. Saya tak sabar untuk melihat hasil filem ini nanti,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran membawakan watak Omar, Hazama memberitahu dia bimbang dengan jangkaan penonton filem Rock yang sememangnya diketahui mempunyai pengikut rock sejak sekuel pertama filem itu.

“Jika sebelum ini filem Rock menekankan mengenai rock kapak tapi kali ini anggota baharu menyambung legasi itu. Pelakon lama yang ada pun hanya Shawarani MS.

“Memang mencabar kerana kebanyakan yang membintangi filem ini adalah pelakon yang dipilih daripada sesi uji bakat. Meskipun bimbang dengan ekspektasi penonton Rock tapi saya percaya filem ini akan memberi satu impak yang baharu,” katanya.

Bulan Terry teruja

Bagi Bulan Terry yang memegang watak Seri, dia mengakui teruja apabila diberi peluang menjadi anggota dalam Rimba Bara 2 iaitu sebagai pemain dram.

“Memegang watak Seri tidak sukar kerana saya sememangnya mahir dalam alat muzik dram. Malah ketika sesi uji bakat pun saya bawa dram dan tidak menjangka dipilih meski pernah fobia untuk menyertai uji bakat kerana pernah ditolak sebuah syarikat produksi 10 tahun lalu.

“Filem ini adalah naskhah kedua saya selepas filem Buskers. Menerusi filem ini Seri adalah wanita penyayang dan juga guru dram.

“Sehingga kini rasa seperti masih bermimpi kerana Rock adalah filem yang dekat dengan diri saya dan antara pengikut tegar siri filem ini. Ketika diberi peluang untuk menyertai keluarga ini saya sangat teruja dan bersyukur,” katanya.

Menjadi satu-satunya bunga dalam kumpulan Rimba Bara 2, Bulan mengakui tidak berdepan kesukaran untuk bercampur dengan pelakon lelaki yang lain kerana memiliki ramai kawan lelaki.

“Saya membesar dengan ramai kawan lelaki dan adik-beradik lelaki, jadi ia bukan satu masalah untuk saya.

“Lagipun saya memang meminati muzik rock sekali gus tidak menyukarkan saya untuk membawakan karakter itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Selain Hazama dan Bulan, filem ini turut dibintangi Adam John, Nazimi Fahmi serta penampilan khas Datuk Awie, Khir Rahman, Madnoor Hendrix, Edry Hashim, Pekin Ibrahim, Kamarool Yusof dan ramai lagi.

Rock 4: Rockers Never Dai kembali dengan Ronnie James Dio (Sharwani NS) yang tersedar daripada koma selepas berbelas tahun terbabit dalam kemalangan. Dio tidak dapat menerima arus muzik zaman sekarang yang sudah banyak berubah dan tidak lagi menampilkan bakat nyanyian sebenar.

Semasa dia cuba menyesuaikan diri dengan arus muzik moden, Dio sering mengimbau kembali kenangan ketika dia bersama kumpulan Rimba Bara.

Dio tekad untuk menyelamatkan industri muzik rock sebelum terlambat dan dengan adanya media sosial masa kini, Dio berjaya menubuhkan Rimba Bara 2.

Dapatkah Dio mengembalikan jiwa sebenar muzik dan bakat kumpulan Rimba Bara 2 serta meneruskan legasi Rock yang tidak akan pernah lapuk dek zaman?

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 6:00am
d