utama

'Nama saya hanya Su'

Oleh Mahaizura Abd Malik

“NAMA saya Su, hanya Su.” Itu jawapan seorang wanita kepada mereka yang meminta nama penuhnya selama ini.

Walaupun bernama pendek, namun Su Suhed, 32, berkata, dia bangga memegang nama unik itu yang diberikan oleh arwah bapanya, Suhed Salleh.

Katanya, biarpun sudah 11 tahun bapanya meninggalkan mereka sekeluarga akibat darah tinggi, namun nama itu membuatkan dirinya terasa dekat dengan insan tersayang itu.

“Semua nama 12 adik-beradik pangkalnya bermula dengan nama Su, tetapi hanya saya diberikan nama Su saja. Ayah kata nama Su sedap.

“Walaupun pelik, nama ini ada nilai sentimental buat saya kerana ‘peninggalan’ istimewa arwah ayah.

“Apapun, saya bangga ada nama ini, terima kasih ayah,” katanya kepada Harian Metro.

Biarpun pelik pada pandangan orang lain, kerani sebuah bank di ibu negara itu menganggap, nama berkenaan memberikan tuah dan kelebihan kepadanya.

“Ramai orang mahu mengenali diri saya kerana memiliki nama unik ini. Malah, mungkin juga kerana rezeki nama ini, saya mudah saja mendapat pekerjaan apabila nama saya lebih menonjol dan menambat hati penemuduga.

“Selain itu, apabila berada di satu tempat yang nama pangkalnya bermula dengan Su, pasti saya memenangi gelaran nama itu manakala orang lain terpaksa mengalah mencari nama lain,” katanya.

Berkongsi cabaran memiliki nama pendek, menurut ibu kepada anak empat itu, sudah menjadi kebiasaan apabila orang akan mempertikaikan namanya sejak kecil lagi.

“Setiap kali perkenalkan diri atau mengisi borang, orang akan bertanya semula siapa nama penuh saya.

“Ada yang pertikaikan betul ke hanya Su nama saya.

“Oleh kerana sudah biasa dengan keadaan itu, saya akan tunjukkan kad pengenalan untuk buat orang percaya,” katanya.

Selain itu, katanya nama itu juga memberikan kenangan istimewa ketika hari pernikahannya dengan suami, Syed Faizal Syed Fadzil,33, lapan tahun lalu.

“Ketika akad nikah, saksi meminta suami mengulang lafaz buat kali kedua kerana mereka tidak yakin dan kurang jelas dengan sebutan nama Su itu.

“Walaupun peristiwa itu agak lucu, namun ia memberikan memori indah dan manis buat kami,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 8:00pm
d