utama

Jaga badan demi karier

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PAKEJ sempurna yang ada pada seseorang artis sememangnya satu bonus untuk mereka dikenali peminat.

Pelakon dan penyanyi Alvin Chong, 28, tidak terkecuali dikaitkan dalam kategori ini.

Alvin, 28, mula mencipta populariti apabila bergandingan dengan Emma Maembong dalam drama rantaian Awak Suka Saya Tak? Alvin berkata, dia mengambil inisiatif menjaga badan untuk kelangsungan kariernya sebagai anak seni.

“Dah lama sebenarnya saya aktif di gimnasium untuk menjaga kesihatan serta mendapatkan bentuk badan yang ideal. Kerjaya sebagai selebriti menuntut kekuatan mental serta fizikal dan itulah sebabnya saya berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah terlintas untuk menyalahgunakan kelebihan itu untuk tujuan lain.

“Saya belum tergerak hati nak tayang badan kepada peminat kecualilah berlakon filem aksi yang memerlukan saya buat demikian. Mungkin artis lain tak kisah buat begini tapi lain orang lain caranya. Saya pegang prinsip ini.

“Saya pun tak kacau orang lain, jadi mereka pun tak boleh kecam saya. Masing-masing ada pendirian sendiri,” katanya.

Alvin bermula sebagai penyanyi pada 2012 selepas menyertai program nyanyian realiti Astro Star Quest (ASQ).

Dia sudah menghasilkan 10 lagu yang ditulis dalam bahasa Mandarin.

Dalam kalangan peminat Cina, namanya bukan asing lagi kerana pernah membintangi filem 3 Brothers yang ditayangkan pada 2014.

Pada 2016, barulah dia tampil berlakon dalam drama Dia Semanis Honey dan Mak Cun.

“Saya gembira diterima baik peminat Melayu. Bagaimanapun diakui penguasaan bahasa Melayu masih lemah. Sampai sekarang pun, saya masih lagi belajar bahasa Melayu dengan rakan artis lain serta kru di lokasi,” katanya.

Tampil dengan Tak Terganti

Meneruskan kesinambungan sebagai penyanyi pula, Alvin kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tak Terganti bersama Universal Music.

“Saya gembira kerana diberi peluang menyanyikan lagu ciptaan Ariadinata yang juga penyanyi kumpulan Samson dari Indonesia.

“Bertambah gembira apabila kawan baik saya, Emma Maembong sudi tampil dalam muzik video lagu ini yang diarahkan Jeremy Lai.

“Peminat boleh tonton muzik video Tak Terganti bermula Isnin lalu di saluran YouTube AlvinChongVevo,” katanya yang pernah merakamkan beberapa single antaranya Lagu Mu, Mencintaimu dan Tajam.

Tak Terganti juga turut dipilih menjadi lagu tema drama Tolong Sempurnakan Cinta Mami lakonan Alvin sendiri yang disiarkan di Astro.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 6:00am
d