utama

31 tahun jadi hamba seks

Oleh Agensi

Caracas: Silap jatuh cinta menyebabkan seorang remaja di Venezuela dikurung oleh kekasihnya dan dijadikan hamba seks lelaki terbabit selama 31 tahun.

Daily Mail melaporkan wanita terbabit yang kini berusia 49 tahun berjaya melarikan diri dari tempat kurungan di sebuah apartmen di bandar Maracay, 24 Januari lalu, selepas dua kali percubaannya sebelum ini gagal.

Sebaik berjaya melarikan diri, wanita itu diselamatkan kumpulan advokasi wanita.

Susulan kejadian, suspek, Matias Salazar, 56, didakwa kerana mengurung wanita dikenali sebagai Morella di apartmen kecil berkenaan.

Menurut pegawai penyiasat, lokasi tempat kurungan Morella itu berdekatan kediaman Salazar yang dikongsi bersama teman wanitanya dan anak perempuannya.

Selama dalam tawanan lelaki itu, Morella hanya diberikan makanan seperti nasi, kekacang dan telur.

Malah, Morella sering dipukul Salazar selain didera secara psikologi apabila memaksanya meminta kebenaran untuk melakukan perkara kecil seperti duduk dan sebagainya.

Lelaki durjana itu dituduh melakukan penderaan seksual kepada Morella dan tidak memberi wanita itu makanan dan minuman, jika dia menolak permintaannya.

Peguam Salazar, Jose Briceno ketika sidang media Isnin lalu menegaskan anak guamnya itu tidak bersalah.

Lapor media tempatan, Morella mula bercinta dengan Salazar pada usianya 17 tahun, sebelum lelaki itu bertindak ganas dan mengurungnya.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 6:05am
d