utama

Keputusan laksana PPSMI tahun hadapan [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman

SEBARANG keputusan berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya akan dapat diketahui tahun hadapan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenainya kerana ia perlu dibawa dan diputuskan Kabinet sekiranya mendapati ada keperluan dilaksanakan.

Katanya, Kabinet masih menunggu kertas kerja berhubung PPSMI yang sedang disiapkan Kementerian Pendidikan sebelum sebarang persediaan lanjut dapat dilakukan.

“Ketika ini kita sedang sediakan kertas kerja untuk dipertimbang Kabinet, sama ada kita akan laksanakan PPSMI atau kita kekalkan pengajaran Sains dalam bahasa Melayu.

“Kita harap tahun hadapan kita boleh sedia (jika PPSMI dilaksana) kerana waktu ini belum ada guru dan sistem pengajaran juga (perlu) ditukar kerana kita tak guna sistem lama.

“Akan guna sistem baharu yang pembelajarannya disediakan pakar dan guru yang boleh memimpin murid dan guru sendiri boleh belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Media Prima Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di Langkawi, hari ini.

Mahathir sebelum ini dipetik berkata, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 12:42pm
d