utama

Simbah minyak, bakar bilal

Oleh BERNAMA

BILAL di Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat, Alor Setar melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar oleh individu yang tidak dikenali, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu mangsa Amri Budin, 67, melecur teruk di bahagian muka, tangan, dan badan sebelah kiri.

Menantu mangsa, Jarina Awang, 44, berkata, sebelum kejadian bapa mentuanya masuk ke dalam kawasan masjid dengan menaiki motosikal dan berjalan di luar masjid untuk melihat maklumat mengenai kuliah agama yang ditampal di situ.

“Memang setiap pagi ayah akan pergi ke masjid untuk azan Subuh. Tetapi hari ini, semasa sedang tengok maklumat mengenai kuliah agama, dia nampak ada satu motosikal yang dinaiki individu tidak dikenali yang memakai topeng muka datang ke arahnya.

“Individu itu terus simbah minyak sebelum menyalakan api. Jemaah masjid yang sedar dengan kejadian itu terus bantu padamkan api dan buka baju ayah sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi abang ipar saya,” katanya ketika dihubungi Bernama di Alor Setar, hari ini.

Jarina berkata abang iparnya, Shahrizal, 41, bersama isterinya terus ke masjid dan membawa bapa mentuanya ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan.

“Dia berada dalam keadaan sedar tetapi muka, tangan dan badannya melecur dan ada bahagian kulitnya telah mengelupas.

“Abang ipar sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9 pagi tadi dan saya harap polis dapat menahan individu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 12:19pm
d