utama

Tak berharap 'Wedding of the Year'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MENGHITUNG hari menuju tarikh perkahwinannya, bagaimanapun pelakon Zahirah MacWilson enggan bercerita lebih lanjut mengenai persiapan hari bahagianya bersama tunang, Aiman Hakim Ridza.

Menurutnya, dia tahu ia adalah detik terbesar dalam kehidupannya sebagai wanita dan ingin menyimpan perasaannya ketika ini.

“Ia satu detik yang begitu besar. Tunggulah pada hari itu (pernikahan) nanti. Biar saya sendiri rasa apa yang sedang saya rasakan sekarang. Biarlah menjadi kejutan dan apabila ia berlangsung, di situ semua akan tahu ia sudah berlaku,” katanya.

Ketika ditanya mengenai fasa baharu yang bakal ditempuhnya itu, Zahirah mengakui ada rasa teruja menuju hari pernikahan yang dikatakan bakal berlangsung hari ini.

“Saya pun tak tahu macam mana lagi. Apa yang boleh saya katakan, saya teruja untuk teruskan satu perjalanan dan cabaran baru dalam hidup saya,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Menjadi lumrah apabila ‘saham’ sesetengah artis dikatakan menurun selepas berumah tangga. Bagi pelakon jelita ini, dia yakin dengan ketentuan Ilahi.

“Saya serahkan kepada Tuhan. Kalau ada yang nak cakap ‘saham’ jatuh selepas berkahwin, mereka akan tetap bercakap. Saya yakin setiap orang ada rezeki masing-masing,” katanya.

Tentunya sebagai pelakon yang menjadi idola ramai peminat, majlis perkahwinan Zahirah dan Aiman ini menjadi antara majlis yang dinanti-nantikan.

Namun, pelakon drama bersiri Jangan Benci Cintaku ini enggan meletakkan sebarang harapan sehingga majlisnya boleh dilabel sebagai ‘Wedding of the Year’.

“Saya tak mahu meletakkan harapan atau membuat peminat terlalu berharap bahawa majlis kami akan bergelar ‘Wedding of the Year’. Namun, yang pasti, ia akan dihadiri keluarga kedua-dua pihak dan juga rakan media.

“Kalau boleh, memang saya nak jemput semua peminat untuk meraikan bersama majlis hari bahagia itu. Namun, kerana saiz lokasinya tidak terlalu besar, jadi impian itu tidak dapat saya tunaikan,” katanya.

Esok, majlis persandingan Zahirah dan Aiman bakal berlangsung di Glamhall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Terbaru, Zahirah hadir dengan filem pertama lakonannya berjudul Bulan & Pria Terhebat.

Membariskan pelakon hebat antaranya Zizan Razak, Maya Karin dan ramai lagi, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu bakal menemui penonton pada

12 Mac ini.

“Ini adalah filem pertama lakonan saya dan memang menjadi impian saya sejak awal pembabitan lagi untuk terbabit dalam filem. Saya sangat bersyukur dan terharu kerana ditawarkan oleh Ghaz untuk membintangi filem ini,” katanya.

Bercerita mengenai watak Bulan yang dibawanya, Zahirah mengakui berdepan cabaran terbesar untuk menjayakan watak aksi itu.

“Pada awalnya, saya ditawarkan watak sebagai adik kepada Bulan. Namun, apabila Ghaz sekali lagi menghubungi saya, dia menawarkan saya watak utama sebagai Bulan.

“Cabaran terbesar adalah untuk melakukan aksi serta perlu bertutur dalam Bahasa Indonesia. Untuk latihan pertarungan saja, saya ambil masa dua bulan manakala untuk latihan dialog, lebih kurang dua minggu,” katanya.

Berlakon bersama pelakon hebat seperti Maya Karin juga turut memberikannya pengalaman baru dalam lakonan.

“Babak paling memberi kesan kepada saya adalah ketika bertarung dengan Maya Karin. Ketika itu, saya perlu ‘dilempar’ ke dalam almari dan babak itu dilakukan beberapa kali sehingga almari itu pecah.

“Kalau nak bercakap mengenai pengalaman berlakon dengan pelakon yang lebih berpengalaman, saya rasa setiap orang ada perjalanan mereka yang tersendiri. Jadi, saya tak membandingkan diri saya dengan mereka,” katanya.

Apa yang pasti, Zahirah teruja menantikan kehadiran filem ini dan pada masa sama, untuk berdepan fasa baru dalam kehidupannya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata positif. Harapan saya, semoga mereka akan turut memberikan sokongan kepada filem ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 6:00am
d