utama

Bantah soalan peribadi terhadap Madinah

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi di sini, semalam mengarahkan pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor supaya tidak mengemukakan soalan yang bersifat peribadi secara mendalam kepada saksi keenam pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar soalan daripada peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang dikemukakan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 63.

Terdahulu, Akberdin menyoal Madinah mengenai keakraban dan perbualan beliau dengan isteri bekas perdana menteri itu ketika lawatan rasmi ke Los Angeles beberapa tahun lalu.

“Saya mendapat arahan daripada anak guam saya untuk bertanyakan soalan ini kepada Tan Sri,” katanya.

Mohamed Zaini mencelah dan bertanya sama ada soalan itu relevan untuk dikemukakan kepada Madinah, tetapi Akberdin memaklumkan beliau akan menjelaskan perkara itu kemudian.

Peguam itu terus menyoal saksi secara terperinci mengenai perbualannya dengan Rosmah dan berkata beliau tidak berniat memalukan Madinah, tetapi terpaksa mengemukakan soalan berdasarkan arahan anak guamnya.

Pada peringkat ini, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan mencelah dengan menyatakan bahawa Akberdin memalukan Madinah dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut mengemukakan bantahan berhubung perkara itu.

Merujuk beberapa seksyen dalam Akta Keterangan, Ahmad Akram meminta hakim melarang soalan berniat memalukan dan tidak relevan dengan pertuduhan terhadap Rosmah.

Bagaimanapun, Akberdin mempertahankan soalan itu atas alasan beliau hanya ingin menunjukkan hubungan Madinah dan Rosmah rapat.

Mohamed Zaini menyarankan Akberdin mengubah soalan dan mengingatkan beliau tidak menyoal saksi terlalu mendalam.

Hakim itu memerintahkan supaya soalan bersifat peribadi dikemukakan Akberdin sebelum ini dipadam dan mengarah petugas media tidak melaporkannya.

Akberdin mengubah soalan dan bertanya sama ada Madinah pernah membincangkan masalah peribadinya dengan Rosmah dan saksi itu menjawab ya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai pertukaran bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 6:35am
d