utama

Ali minta maaf secara terbuka pada kakak ipar [METROTV]

Oleh Georgie Joseph

PELAWAK Ali Puteh meminta maaf secara terbuka kepada kakak iparnya, Siti Nurhidayah Mohd Ali di atas keterlanjuran memuat naik status kasar terhadap wanita itu, baru-baru ini.

Ali turut merancang mengadakan pertemuan tertutup antara keluarganya dan pihak keluarga Nurhidayah bagi menyelesaikan kemelut yang tercetus serta tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

“Kepada Nurhidayah, apa yang saya katakan di laman sosial itu sudah saya tarik balik. Saya sanggup meminta-maaf secara terbuka. Ia berikutan, apabila kita manusia berada dalam sifat amarah, benda itu pasti keluar.

“Saya juga merancang untuk berjumpa mereka, tetapi abang Nurhidayah memberitahu dalam keadaan sekarang tidak boleh hadir dan tak mengapalah.

“Saya sudah cakap kepada ibu saya, kalau sekiranya jadi lebih teruk seperti sekarang, kami akan kumpul semua sedekah yang orang beri dan saya sendiri akan serahkannya kepada kakak ipar.

“Saya juga akan pergi buat permohonan maaf antara keluarga kami tanpa memanggil media. Sebab ini silaturahim agama, kami dipisahkan hanya disebabkan seorang insan hebat yang dibanggakan sebab bersedekah,” katanya pada sidang media diadakan hari ini.

Sebelum ini, Ali dikata mengeluarkan kata kasar kepada Nurhidayah kerana terasa hati dengan kenyataan kakak iparnya itu pada temu bual secara langsung di Instagram usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri.

Menerusi temu bual berkenaan, Nurhidayah memaklumkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapinya selepas kematian suaminya Abam, membabitkan harta peninggalan termasuk kereta yang didakwa diuruspihak keluarga Abam.

Disebabkan video dan kenyataan dibuat Nurhidayah yang tular, Ali memuat naik status yang menggambarkan perasaan terkilan terhadap kakak iparnya.

Selain, Ali turut memuat naik status ditujukan kepada Aliff Syukri yang dianggap mengambil kesempatan dalam situasi dihadapi keluarganya.

Berita berkaitan

Jangan dengar sebelah pihak

'Saya dahaga publisiti? Sangat kelakar...' - Aliff Syukri

Ali Puteh terkilan kenyataan kakak ipar

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 7:44pm
d