utama

Peralihan kuasa berlaku selepas APEC [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“KEPUTUSAN (peralihan kuasa) terletak di tangan saya bila saya akan lepas (jawatan Perdana Menteri),” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada mesyuarat Majlis Presiden malam ini, bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November ini.

“Mereka setuju peralihan kuasa akan berlaku selepas APEC tetapi tiada masa, tarikh dan tempoh ditetapkan.

“Keputusan ditentukan saya apabila saya akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, malam tadi.

Mesyuarat turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata mesyuarat panjang lebar yang berlangsung selama lebih tiga jam itu turut membincangkan mengenai masa depan parti dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Mesyuarat juga membincang mengenai pemilihan calon PRN Sarawak supaya tidak berlaku pertindihan calon antara parti komponen PH,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 12:24am
d