utama

Cabaran berbeza

Oleh Syazwan Msar

SATU daripada pasukan cemerlang dalam sejarah Piala FA bakal tersingkir awal apabila juara bertahan, Kedah diundi bertemu Pahang pada pusingan kedua, semalam.

Kedah adalah juara lima kali selain naib juara sekali, manakala Pahang juara tiga kali dan naib juara dua kali.

Kedua-dua pasukan itu adalah pasukan kedua dan ketiga terbaik pada pentas Piala FA selepas Selangor dengan rekod lima kali juara dan tiga kali naib juara.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin berkata, walaupun sedia maklum situasi Pahang masih dalam keadaan terumbang-ambing, skuad Hijau Kuning akan tampil lebih bersedia melayan kunjungan pasukan Tok Gajah.

“Pengalaman lalu memberi banyak pengajaran terutama Kedah pernah tewas kepada Pahang pada pusingan ketiga Piala FA 2018, sekali gus memberi peringatan setiap pasukan boleh melakukan kejutan.

“Kedah bersedia mempertahankan kejuaraan, malah sudah melakukan persiapan sejak November lalu termasuk mengadakan siri perlawanan persahabatan bagi membentuk gandingan mantap,” katanya selepas Majlis Undian Pusingan Kedua Piala FA, di sini, semalam.

Sementara itu, jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menganggap pasukan Kedah begitu konsisten dan dibarisi pemain berpengalaman.

“Sudah pastinya kita akan melihat Kedah sebagai satu pasukan yang boleh pergi jauh iaitu akan ke pusingan separuh akhir atau beraksi di pentas final,” katanya.

Semua perlawanan pusingan kedua Piala FA musim ini dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Mac ini.

Sementara itu, undian pusingan kedua turut menyaksikan sekurang-kurangnya lima pasukan kerdil atau bertaraf amatur berpeluang melakukan kejutan menentang pasukan dari Liga Super antaranya perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang KL Rovers, Melaka bertemu Langkawi City FC dan Perak pula menerima kunjungan KT Rovers.

Selain itu, PJ City pula perlu berwaspada ketika melayan kunjungan Imigresen FC manakala pendatang baharu Liga Super, PDRM akan menentang NLFC Mahsa.

Lain-lain perlawanan membabitkan Felda United menentang Kelantan United, Markless ST menentang Armed Forced FC, Kuantan FC menentang KSR Sains, UiTM FC menentang Kuching FA, Sarawak menentang Terengganu FC.

SSFC yang berpangkalan di Selangor pula bakal menerima kunjungan UKM FC manakala Kelantan yang baru pulih daripada masalah kewangan perlu lebih bersedia ketika bertemu Protap FC.

Dua lagi perlawanan lain adalah membabitkan Pulau Pinang menentang Negeri Sembilan dan Sabah bertemu Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 6:15am
d