utama

Rakam lagu pelbagai genre

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEPANJANG 25 tahun pembabitan sebagai anak seni, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi satu-satunya penyanyi tempatan yang tidak pernah gagal menghasilkan album dan single.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan itu membuatkan Siti terus kekal berada dikedudukan terbaik, sekali gus menjadikan dirinya inspirasi kepada kebanyakan penyanyi baharu.

Satu fakta menarik mengenai kerjaya Siti adalah dia juga antara penyanyi senior yang sentiasa terbuka dalam bekerjasama dengan komposer baharu.

Selepas kejayaan lagu Anta Permana tahun lalu, terbaharu ibu kepada si comel, Siti Aafiyah ini muncul menerusi lagu 7 Nasihat nyanyian bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta yang juga komposer lagu itu.

“Saya senang bekerjasama dengan komposer baru atau yang pernah bekerja dengan saya sebelum ini. Saya melihat karya dan bukan nama atau usia kerana setiap orang ada kelebihan masing-masing.

“Sebagai artis senior, saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa. Peluang bergandingan dengan duo komposer dan rapper muda ini satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda.

“Lagu ini sebuah karya istimewa kerana menggabungkan hip hop, rap dan tradisional. Ini juga dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik,” katanya.

Kemunculan single itu juga dianggap satu kejutan buat peminatnya kerana ramai beranggapan Siti bakal muncul dengan lagu bergenre balada.

Namun, 7 Nasihat yang mengentengahkan elemen muzik tradisional Melayu dan hip hop berjaya mencipta fenomena tersendiri.

“Diakui album saya yang akan dilancarkan memuatkan lagu di mana saya cuba memenuhi cita rasa semua peminat. Saya menghasilkan 7 Nasihat kerana genre hip hop kembali menguasai industri muzik.

“Saya perlu mengikut arus semasa, namun dalam masa sama mengekalkan jati diri Siti Nurhaliza itu sendiri. Apabila saya mendapat lagu gabungan tradisional dan hip hop, saya tahu ini cara saya menarik minat penggemar muda yang meminati genre ini, tetapi ada sentuhan tradisional.

“Liriknya juga sangat memberikan kesan kepada kita dan ini aura 2020 saya,” katanya.

Mengenai kejayaan 7 Nasihat berada di tangga teratas carta muzik iTunes, Siti bersyukur dan berterima kasih atas sambutan diberikan.

“Saya gembira kerana lagu ini mendapat tempat yang baik di iTunes dan maklum balas positif daripada peminat. Saya mahu karya nyanyian saya menjadi lagu malar yang diingati,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai album ke-18 yang bakal dilancarkan, Siti berkata, lagu dalam album itu terdiri daripada pelbagai genre muzik.

“Ya, saya cuba penuhi. Saya akan kembali ke studio rakaman pada minggu ini dan awal Mac nanti.

“Saya berharap dengan pemilihan lagu pelbagai genre akan dapat menawan peminat muzik kerana di dalam satu album, ada jenis lagu yang menepati minat mereka,” katanya.

Tidak akan berdiam diri

Kurang 24 jam 7 Nasihat dilancarkan, Siti mendapat khabar ‘duka’ apabila audio lagu itu dimuat naik secara haram di laman YouTube daripada pengguna akaun yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai penyanyi, penerbit bersama dengan Universal Music dan empunya lagu nyanyian, saya rasa terpanggil untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa muzik juga ada undang-undang sendiri termasuk hak cipta.

“Saya mahu memberi ilmu sebenarnya kerana memuatnaik semula sesebuah karya tanpa kebenaran, apatah lagi bukan di platform yang sah adalah satu kesalahan. Saya tidak mahu hanya lihat dan berdiam kerana jika saya tidak sampaikan pesan begini, makin ramai orang yang tidak segan silu melakukannya.

“Lagu ini baru dilancarkan beberapa jam sahaja, tetapi ada pihak tak bertanggungjawab memuatnaik di YouTube. Pada masa sama, lagu saya dilancarkan di seluruh pelantar digital,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang dibuat, Siti berkata, Universal Music sudah berurusan dengan YouTube untuk menyekat perkara itu

“Alhamdulillah, pihak saya dan Universal Music sudah berurusan dengan YouTube dan kami akan terus memantau hal ini dari semasa ke semasa.

“Peminat saya juga menjadi mata dan telinga saya kerana mereka turut membantu membuat laporan kepada pengurusan saya jika perkara ini masih berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 7:00am
d