utama

PH sah calonkan Anwar

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim; Muhaamad Hafis Nawawi dan Ilah Hafiz Aziz

PAKATAN Harapan (PH) hari ini memutuskan menamakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu.

Anwar berkata, PH sudah memohon kepada Dr Mahathir untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri Interim berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan semalam.

Katanya, segala keputusan membabitkan pelantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

"Majlis Presiden PH menjemput Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan PH namun beliau tidak bersetuju hadir mesyuarat berkenaan.

"Justeru, keputusan Majlis Presiden (PH) menetapkan bahawa calon Perdana Menteri PH adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Anwar berkata, PH kekal komited terhadap inspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari sudut ekonomi, politik dan sosial.

"Sejak cubaan untuk menumbangkan kerajaan PH hujung minggu lalu, kami terus berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018.

"Kami tidak akan mengkhianati amanah itu. Seperti yang semua ketahui, kami dijemput berjumpa Yang di-Pertuan Agong, jadi sebarang kegiatan (politik) harus dihentikan," katanya.

Ditanya berhubung jumlah kerusi dimiliki PH bagi menubuhkan kerajaan, Anwar menegaskan ia tidak wajar untuk dibincangkan.

"Soal nombor (bilangan kerusi) tidak sesuai dibincangkan kerana akan dianggap tidak sopan dan tidak seauai kerana keputusan terletak sepenuhnya di tangan Yang Dipertuan Agong," katanya sebelum menamatkan sidang media berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:07pm
    d