utama

JDT dijangka kekal dominasi [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dijangka meneruskan penguasaan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan dilihat tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dengan koleksi bintang import dan tempatan.

Bagaimanapun, tiga pasukan iaitu Selangor, Kedah dan Perak juga mampu menggugat skuad Harimau Selatan sekiranya anak buah Benjamin Mora terlalu mengambil mudah kemampuan lawan.

Daripada 12 pasukan Liga Super, di atas kertas UiTM FC, Petaling Jaya City (PJ City) dan PDRM FC berdepan risiko diturunkan ke Liga Perdana seandainya menamatkan saingan di dua tangga tercorot.

Ikuti analisis lanjut bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan bersama Arena Metro.

1. JDT

Sudah pastinya JDT menjadi pilihan untuk terus mengungguli Liga Super dan kita boleh lihat pasukan terbabit turut membuat persiapan rapi selain turut mendapat semangat baharu apabila siapnya Stadium Sultan Ibrahim.

Selain itu, barisan pemain import mereka juga sangat bagus, malah kemasukan Liridon Krasniqi dan Matthiew Davies memperkukuhkan lagi pasukan.

• NAMA SAMARAN: Harimau Selatan

• PENGURUS DAN JURULATIH: Luciano Figueroa, Benjamin Mora

• STADIUM: Stadium Sultan Ibrahim

• PEMAIN TUMPUAN: Safawi Rasid, Aidil Zafuan, Syafiq Ahmad (tempatan), Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera (import)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (6 kali), Piala Malaysia (2), Piala FA (1), Piala Sumbangsih (4)

• BINTANG: 4.8/5

2. Selangor

Selangor satu-satunya pasukan yang saya lihat boleh mencabar JDT.

Ini kerana berdasarkan persiapan mereka musim ini, beberapa pemain baharu dibawa masuk, saya lihat pasukan ini akan menyerlah nanti.

Rekod pramusim Selangor menunjukkan mereka di laluan tebaik ditambah penjenamaan semula pasukan kepada Selangor I dan Selangor II akan memberi kelebihan dari sudut pertambahan pemain yang boleh dibawa masuk sepanjang musim.

Pertahanan mereka juga makin kukuh selepas membawa masuk pemain baharu dan sengat penyerang juga berbisa dalam aksi pramusim ini.

• NAMA SAMARAN: Red Giants

• PENGURUS DAN JURULATIH: Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, B Sathianathan

• STADIUM: Stadium Shah Alam

• PEMAIN TUMPUAN: Ifedayo Olusegun (import), Brendan Gan (tempatan)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (6 kali), Piala Malaysia (33), Piala FA (5), Piala Sumbangsih (8).

• BINTANG: 4.

3. Kedah

Kedah kita tahu sebelum ini berjaya menjuarai pertandingan jemputan dalam pramusim di Kemboja, tapi selepas itu permainan Kedah merudum.

Kita pun tak tahu apa masalah mereka sebenarnya walaupun di atas kertas barisan pemain mereka hebat seperti Baddrol Bakhtiar dan lain-lain.

Kita harap ia dapat diatasi kerana Kedah pun tidak boleh dipandang sepi kerana mereka sebuah pasukan yang sentiasa memberi cabaran kepada pasukan lain.

Malah, pengalaman bermain di Kelayakan ACL (Liga Juara-Juara Asia) sepatutnya boleh beri mereka motivasi tambahan di samping persediaan mereka yang paling awal daripada pasukan lain.

• NAMA SAMARAN: Helang Merah

• PENGURUS DAN JURULATIH: Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, Aidil Sharin Ishak

• STADIUM: Stadium Darul Aman

• PEMAIN TUMPUAN: Kipre Tchetche (import), Baddrol Bakhtiar (tempatan)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (3 kali), Piala Malaysia (5), Piala FA (5), Piala Sumbangsih (3).

• BINTANG: 4

4. Perak

Perak musim ini senyap saja. Tapi senyap-senyap ini kita tak boleh ingat mereka tak buat persiapan ibarat 'Air yang tenang jangan disangka tiada buaya'.

Kalau tengok Perak tidak begitu agresif tapi kita terkejut juga dalam perlawanan merebut Piala Unity Shield, mereka tewaskan Kedah yang gah bawa ramai pemain ternama.

Pasukan ini tak boleh pandang sepi, pemain mereka juga bagus dengan ada Shahrul Saad dan pemain lama dalam skuad itu, saya melihat Perak juga pencabar terkuat kepada JDT, Selangor dan Kedah.

• NAMA SAMARAN: The Bos Gaurus

• PENGURUS DAN JURULATIH: Mehmet Durakovic

• STADIUM: Stadium Perak

• PEMAIN TUMPUAN: Guilherme De Paula (import), Shahrul Saad, Shahrel Fikri (tempatan)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (2 kali), Piala Malaysia (8), Piala FA (2), Piala Sumbangsih (3).

• BINTANG: 4

5. Melaka United

Banyak isu pasukan ini seperti perubahan presiden mereka dan beberapa lagi.

Tapi mereka masih bertahan dengan Zainal Abidin Hassan (jurulatih) ada di situ selain ada pemain hebat seperti Safiq Rahim.

Melaka juga kita tak boleh pandang sepi kerana pemain mereka sangat berpengalaman.

Lagi pun Zainal dah lama dengan pasukan ini, justeru persefahaman pemain dan jurulatih akan menjadi kelebihan mereka.

• NAMA SAMARAN: Hang Tuah

• PENGURUS DAN JURULATIH: Datuk Yusoff Mahadi, Zainal Abidin Hassan

• STADIUM: Stadium Hang Jebat

• PEMAIN TUMPUAN: Romel Morales (import), Safiq Rahim (tempatan)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Perdana (1 kali), Liga FAM (1)

• BINTANG: 3.8

6. Terengganu

Terengganu melakukan persiapan rapi pada musim ini menerusi gandingan pemain baharu dan lama, malah perlawanan persahabatan bertemu Negeri Sembilan baru-baru ini menampakkan mereka antara pasukan yang boleh mencabar skuad gergasi lain.

Mereka juga mendapatkan pemain import baharu di posisi penyerang dan pertahanan, selain beberapa pemain naturalisasi.

• NAMA SAMARAN: Sang Penyu

• PENGURUS DAN JURULATIH: Marzuki Sulong, Mohd Nafuzi Zain

• STADIUM: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

• PEMAIN TUMPUAN: Faiz Nasir, Darren Lok (tempatan), Lee Tuck, Faris Ramli, Sanjar Shaakhmedov (import)

• PENCAPAIAN: Juara Piala Malaysia (1 kali), Piala FA (2), Piala Sumbangsih (1)

• BINTANG: 3.8

7. Pahang

Naib juara Liga Super musim lalu ini berdepan kemelut dengan pemain bintang seperti Matthiew Davies tidak lagi bersama pasukan hingga menyukarkan perancangan kesebelasan utama yang mantap.

Namun, Pahang tidak boleh dipandang remeh kerana memiliki jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh yang mampu merencana taktikal ampuh dengan menggabungkan pemain lama dan baharu.

• NAMA SAMARAN: Tok Gajah

• PENGURUS DAN JURULATIH: Datuk Suffian Awang, Dollah Salleh

• STADIUM: Stadium Darul Makmur

• PEMAIN TUMPUAN: Mohamadou Sumareh, Azam Azih, Faisal Halim (tempatan), Dickson Nwakaeme (import)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (5 kali), Piala Malaysia (4), Piala FA (3) dan Piala Sumbangsih (3)

• BINTANG: 3.8

8. Sabah

Sabah bagi saya sangat misteri dan tak banyak kita tahu perkembangan mereka untuk persiapan Liga Super.

Tapi kalau musim lalu kita lihat mereka bertungkus-lumus di Liga Perdana hingga muncul juara untuk layak ke Liga Super, jadi kita tak boleh pandang ringan kehadiran Sabah.

Satu lagi, saya jangka pemain mereka akan beraksi tanpa tekanan kerana mereka dilihat sebagai underdog dan ini boleh beri kelebihan kepada pemain untuk mengejutkan pasukan lebih besar.

• NAMA SAMARAN: Tembadau

• PENGURUS DAN JURULATIH: Henry Saimpon, Kurniawan Dwi Yulianto

• STADIUM: Stadium Likas

• PEMAIN TUMPUAN: Hector Ramos (import), Rawilson Batuil (tempatan)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Super (1 kali), Piala FA (1)

• BINTANG: 3.5

9. Felda United

Setakat ini perkembangan pasukan Felda United kurang digembar-gemburkan seterusnya persiapannya tidak diketahui pasukan lawan, namun skuad terbabit tetap boleh menjadi duri dalam daging kepada lawannya kelak.

• NAMA SAMARAN: The Fighters

• PENGURUS DAN JURULATIH: Jamaludin Ahmad, Nidzam Jamil

• STADIUM: Stadium Tun Abdul Razak

• PEMAIN BINTANG: Muhammad Danial Amier Norhisham, Tasnim Fitri (tempatan), Ryutaro Megumi, Nicolas Velez (import)

• PENCAPAIAN: Juara Liga Perdana 2018

• BINTANG: 3.5

10. UiTM FC

Kita tahu UiTM FC banyak menggunakan pelajar dalam pasukan ini.

Tak banyak berita kita dengar mengenai pasukan ini.

Tapi kehadiran jurulatih mereka, Frank Bernhardt mungkin boleh beri kelainan kepada pasukan ini.

Kita tahu beliau seorang jurulatih yang bagus dan pernah membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan kita.

Tapi saya jangka jurulatih banyak kerja kena buat supaya tidak menjadi pasukan belasahan musim ini.

• NAMA SAMARAN: The Lion Troops

• PENGURUS DAN JURULATIH: Mustaza Ahmad, Frank Bernhardt

• STADIUM: Stadium Mini UiTM, Shah Alam

• PEMAIN TUMPUAN: Gustavo dos Santos (import), Nur Areff Kamaruddin (tempatan)

• PENCAPAIAN: -

• BINTANG: 3.2

11. PJ City

Walaupun terdapat banyak perkhabaran kurang enak berkaitan isu dalaman pasukan ini, mereka perlu bersatu sebagai sebuah pasukan untuk mengekalkan reputasi ‘The Giant Killer’ sekali gus mengelak daripada diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

• NAMA SAMARAN: The Phoenix

• PENGURUS DAN JURULATIH: J Dhinagaran, K Devan

• STADIUM: Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya

• PEMAIN BINTANG: Safie Sali, D Christie Jayaseelan (tempatan), Elizeu Araujo (import)

• PENCAPAIAN: -

• BINTANG: 3.2

12. PDRM

PDRM perlu bekerja keras kerana seperti sedia maklum mereka bermula dengan penolakan tiga mata (isu tunggakan gaji) sekali gus berdepan kesukaran untuk kekal di Liga Super musim depan.

Bajet juga kecil dan hanya keajaiban boleh menyelamatkan mereka daripada diturunkan ke Liga Perdana.

• NAMA SAMARAN: The Cops

• PENGURUS DAN JURULATIH: Datuk Khalil Azlan Chik, Mohamad Ishak Kunju Mohamad

• STADIUM: Stadium Kuala Lumpur

• PEMAIN BINTANG: Mohd Nor Farhan (tempatan), Antonio German (import)

• PENCAPAIAN: –

• BINTANG: 3.2

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 6:31am
d