utama

Bahagian korus mencabar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MUZIK itu luas dan tidak hanya terhad kepada satu genre. Bagi mereka yang bergelar penyanyi, kemampuan untuk menyanyikan pelbagai genre lagu tentunya menjadi bonus.

Khai Bahar yang kini antara penyanyi lelaki popular tanah air berkata, dia sendiri tidak mahu terus berada di takuk lama dalam kerjaya muziknya.

Baginya, sementara masih ada peluang dia akan terus meneroka pelbagai genre muzik dan mencuba nasib dalam membawakan pelbagai jenis lagu untuk mencabar kemampuannya.

Terbaru, Khai hadir dengan single baru berjudul HatiNyawa ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Mage, Ja’a dan Karim Karam.

Khai berkata, itu adalah satu cabaran baharu buatnya untuk membawakan lagu bergenre pop dan lebih rumit lagi, karya ini memerlukannya untuk menari.

“Lagu ini tercipta atas persetujuan kedua-dua pihak iaitu antara pihak saya dan Faithful. Jadi, apabila diberi peluang oleh abang Faizal Tahir dan pasukannya untuk menyanyikan lagu ciptaan mereka, itu adalah peluang yang saya takkan lepaskan.

“Pertama kali lagu ini diberikan kepada saya, saya terus jatuh hati dan secara peribadi, ia adalah lagu rancak yang mudah untuk diikuti,” katanya.

Bercerita mengenai lagu HatiNyawa itu lagi, Khai berkata, ia berbeza daripada lagu pop yang dinyanyikan penyanyi lain.

“Walaupun genre lagu ini adalah lagu pop dan mungkin akan disamakan dengan lagu penyanyi lain, sebenarnya ada kelainan yang ditampilkan. Ia ada identiti sendiri dan sebenarnya, bermain dengan emosi amarah,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang penghasilan lagu dan video muzik HatiNyawa, Khai berkata, cabaran terbesar adalah untuk menari.

“Saya ada asas dalam tarian kerana sebelum menjadi artis, saya pernah mengikuti satu kumpulan tarian. Tapi, yang paling mencabar adalah apabila perlu membuat persembahan secara langsung kerana sedikit mengah apabila perlu menari dan menyanyi.

“Lebih mencabar adalah di bahagian korus lagu ini kerana saya perlu melompat dan menari. Alhamdulillah, atas bantuan mereka yang arif dalam tarian, semuanya berjalan lancar. Semuanya bergantung kepada stamina dan fokus,” katanya.

Lagu HatiNyawa juga sepatutnya dilancarkan ketika Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan.

“Kalau ikutkan perancangan awal, ia sepatutnya dilancarkan di konsert yang berlangsung di Istana Budaya itu. Namun, apabila difikirkan semula, lebih baik sekiranya ia dilancarkan lebih awal. Jadi, penonton pun boleh tahu mengenai lagu ini dan dapat menyanyikan bersama-sama saya ketika dipersembahkan nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai konsert sulungnya itu, Khai berkata, penjualan tiket masih berlangsung.

“Setakat ini, tiket untuk tempat duduk berserta sesi ramah mesra habis dijual. Untuk tiket lain, ia masih dijual,” katanya.

Ditanya sama ada timbul kebimbangan sekiranya tiket konsert itu tidak habis dijual, Khai berkata, dia sentiasa bersyukur walaupun andai kata tempat duduk sepanjang dua hari itu tidak penuh.

“Saya pun mempromosikan tiket untuk konsert itu di Instagram saya setiap hari. Di Instagram rasmi yang diwujudkan untuk konsert itu pun kami buat jualan dan promosi.

“Jika tiket tidak habis dijual, saya masih bersyukur kerana masih ada yang hadir dan saya akan memberikan persembahan terbaik sebagai tanda penghargaan buat mereka yang hadir,” katanya.

Setakat ini, proses latihannya sudah bermula dan Khai mendapat bantuan tenaga pengajar antaranya Fauziah Ahmad Daud, Adeep Nahar dan Pet Ibrahim.

Selain itu, Khai juga bakal ke Istanbul, Turki pada April depan.

“Insya-Allah, saya ke sana pada 5 April dan kami akan melawat sempadan Syria untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 7:00am
d