utama

'Jho Low tipu saya'

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu, wang berjumlah RM32 juta dipindah masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali dengan nama Jho Low.

Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPSB), Datuk Rosman Abdullah, 53, dalam keterangannya berkata, wang itu sebahagian daripada RM170 juta yang sebelum itu dimasukkan ke dalam akaun PPSB.

Menurut Rosman, sebahagian daripada RM170 juta, iaitu wang berjumlah RM34.9 juta dipindah keluar daripada akaun PPSB dan dimasukkan ke dalam akaun Permai Binaraya Sdn Bhd.

Menurut Rosman yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Putrajaya Perdana Berhad (PPB), daripada jumlah itu RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun Ambank Najib dengan nombor akaun berakhir 880 pada 8 Julai 2014 manakala RM5 juta berakhir di dalam akaun bekas Perdana Menteri itu melalui akaun berakhir 906 pada 10 September 2014.

PPSB dan PBSB syarikat subsidiari kepada PPB.

Rosman berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya yang menunjukkan transaksi perbankan perjalanan wang terbabit ketika menjawab soalan peguam Farhan Read pada sesi pemeriksaan utama.

Saksi pembelaan kelapan itu berkata, beliau mulanya diberitahu oleh Jho Low, RM170 itu adalah pendahuluan bagi kontrak yang dirundingkan beliau (Jho Low) yang akan dimasuki PPC.

Rosman berkata, wang RM170 juta itu dimasukkan ke dalam akaun PPSB melalui tiga peringkat iaitu RM35 juta pada 8 Julai 2014, RM105 juta pada 14 Julai 2014, dan RM30 juta pada 8 Ogos 2014 atas arahan Jho Low.

Saksi itu berkata, mulanya beliau tidak mengetahui akaun berakhir dengan nombor 880 dan 906 adalah milik Najib.

“Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu melalui penerbitan dalam Internet yang mendakwa akaun itu milik Najib.

“Apabila saya direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2015, pegawai penyiasat beritahu perkara sama,” katanya,

Rosman berkata demikian ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Sementara itu, Rosman berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang perjanjian mendahulukan wang kepada Najib, malah beliau tidak pernah mengizinkan tindakan sebegitu.

Rosman berkata, sebelum ditahan SPRM pada 24 Julai 2015, beliau melihat Jho Low sebagai ahli perniagaan jujur dan kompeten.

Katanya, perhubungan beliau dan Jho Low pada waktu itu boleh dianggap sebagai ‘perhubungan profesional yang mesra’.

“Selepas saya direman, dan kini selepas saya mendapat gambaran sebenar apa berlaku kepada pindahan RM170 juta itu, saya boleh gambarkan beliau sebagai penipu, cekap dan sangat licik.

“Jho Low tipu saya. Saya tidak tahu SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan dan akaun Ambank milik Najib.

“Saya dibebaskan dan diberi surat pelepasan daripada SPRM dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Saksi itu selanjutnya berkata, beliau cuba menghubungi rakan sekutu ahli perniagaan itu bagaimanapun tiada seorang pun memberikan maklum balas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 7:30am
d