utama

Tengok budi bicara FIFA...

Oleh Firdaus Hashim

PELUANG calon penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dilihat seolah-olah berada ‘di atas pagar’ dengan nasibnya kini terletak sepenuhnya di tangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kelewatan de Paula meraih kelulusan Fifa adalah disebabkan penyerang kelahiran Brazil itu tidak konsisten beraksi di Liga Malaysia (Liga M), malah pernah beraksi di Cyprus selama lima bulan sebelum ini.

Jelas Hamidin, peluang de Paula sememangnya tipis, namun berdasarkan kes sama yang pernah berlaku di negara lain, ia kadangkala berjaya, sekali gus dibenarkan Fifa.

“Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM bila bawa dalam mesyuarat pasukan kebangsaan dengan exco FAM menetapkan untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 hanya dua saja yang layak. Peminat kena faham dan sudah banyak kali kita maklumkan, pemain ini (calon naturalisasi) mesti sudah lima tahun berturut-turut bermain ataupun meraih permit tingal di negara ini.

“Pemain yang dimaksudkan ialah Liridon (Krasniqi) dan seorang lagi de Paula. Tetapi, de Paula ini kita tengah menunggu kelulusan daripada Fifa. Ia kerana ada sedikit tempoh dalam lima tahun itu, dia ada main di Cyprus untuk lima bulan.

“Tetapi, ada kes sebelum ini di konfederasi lain berjaya dilepaskan kes ini, jadi kita masih menunggu daripada Fifa untuk mendapatkan keputusan. Liridon pula memang ‘kemas’ lima tahun,” katanya yang mendedahkan masalah sebenar dihadapi de Paula.

Status de Paula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang hairan mengapa proses untuk menaturalisasikan bekas penyerang Selangor dan Kuala Lumpur itu masih tertangguh dengan FAM hanya memberi alasan dokumen pemain tonggak berusia 33 tahun itu tidak lengkap.

Sebelum ini, Liridon muncul pemain naturalisasi kedua layak beraksi untuk skuad negara selepas menerima lampu hijau daripada Fifa, sekali gus mengikuti jejak langkah Mohamadou Sumareh yang menerima taraf kewarganegaraan pada 2018.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 6:30am
d