utama

Lantikan demi kesejahteraan rakyat

Oleh Muhammad Saufi Hassan

TAN Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, majlis pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu diadakan hari ini.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat serta negara yang dicintai bersama.

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada jam 10.30 pagi di Istana Negara.

Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan supaya kemelut politik ini berakhir serta menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan semua pihak yang terbabit khususnya agensi keselamatan.

Terdahulu, Istana Negara semalam menerima senarai pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada ketua parti politik yang mempunyai wakil di dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda menitahkan ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gambir mempunyai perjalanan serta pengalaman politik yang luas dan beliau pernah menjawat jawatan penting dalam Umno sebelum menjadi Presiden Bersatu.

Kemelut politik negara bermula Ahad lalu apabila beberapa Ahli Parlimen daripada Bersatu dan PKR menghadiri satu majlis makan malam yang dihadiri ahli politik daripada Muafakat Nasional.

Keesokkannya, Bersatu mengumumkan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) disusuli dengan 11 Ahli Parlimen diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Krisis politik negara memuncak apabila Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri sebelum dilantik semula oleh Seri Paduka Baginda sebagai perdana menteri interim.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa ketua-ketua parti politik mengemukakan calon bakal perdana menteri dan kemelut berkenaan memasuki hari ketujuh semalam sebelum ia dimuktamadkan menerusi titah Seri Paduka Baginda yang berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 6:35am
    d